Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRN: Pencalonan Tengku Zafrul di tangan Umno

Pakatan Harapan tidak akan masuk campur dalam sebarang keputusan sekiranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bendahari Umno Selangor itu bakal bertanding di PRN negeri akan datang.

"(Pencalonan Tengku Zafrul) tidak terlibat dengan PH, itu di tangan Umno dan BN.

"Rundingan belum habis. Lepas hari raya haji kita dapat tengok tentang kerusi-kerusi mana itu biar kita bincang lebih mendalam.

"Sekarang ia berada di tahap presiden PKR (Anwar Ibrahim) dan presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi).

"Sebenarnya perbincangan telah berlaku. Cuma hasil perbincangan belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita di majlis serahan sumbangan lembu korban serta sumbangan kewangan parlimen Gombak dan Dun Sungai Tua.

Terdahulu, Umno Bahagian Kota Raja meluahkan hasrat agar Tengku Zafrul diangkat sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Tengku Zafrul yang juga pengerusi Umno bahagian Kota Raja sebelum ini dikatakan akan bertanding di DUN Sg Kandis.

Namun, namanya dikatakan muncul di DUN Kuang selepas beberapa sumber dalaman daripada PH dan BN memberitahu rundingan menyerahkan kerusi Sungai Kandis kepada Umno tidak berjaya.

Kerusi itu kini disandang oleh Adun PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar, atas).

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja Abdul Raof Mokhtar berkata Tengku Zafrul seorang yang berdedikasi dan berintegriti serta berpengalaman dalam pentadbiran.

Oleh itu, dia percaya Tengku Zafrul mempunyai misi dan visi yang jelas untuk membawa perubahan kepada rakyat.

Bagaimanapun, Amirudin berkata pencalonan Tengku Zafrul di DUN Sg Kandis belum dimuktamadkan.

"Itu belum pasti lagi. Sebab kita tengah bincang lagi.

"Letak dia di Sg kandis sedang dalam perbincangan atau pun tak dibincangkan," jelasnya.