Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi Suhakam isytihar 'tiada apa perlu sembunyi'

EKSKLUSIF l Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad mengisytiharkan bahawa dia "tiada apa  untuk disembunyikan" dan bersedia untuk disiasat oleh bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Dia mengulas pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, yang merangkumi daripada perkauman kepada salah guna kuasa, yang dibawa ke perhatian Malaysiakini oleh sumber.

Untuk menunjukkan kesediaannya berdepan siasatan, Rahmat mendedahkan dia telah menarik balik saman fitnahnya terhadap bekas timbalan setiausaha Suhakam Shahizad Sulaiman, yang memfailkan aduan dalaman terhadap pengerusi itu.

“Saya telah tarik balik saman itu untuk memberi laluan kepada siasatan bebas ini.

"Saya mahu ini sebagai isyarat bahawa saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Biarkan ia terbuka. Biarkan mereka menyiasat sama ada apa yang dikatakan terhadap saya itu benar atau sebaliknya," katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa yang sama, Rahmat berharap siasatan juga akan memberi tumpuan kepada "perkara lain" yang tidak melibatkannya. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak menghuraikan "perkara lain" tersebut,

“Pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam telah bersetuju untuk membangkitkan perkara ini, bukan sahaja dakwaan terhadap saya, tetapi juga perkara lain dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Antara lain, sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, menuduh Rahmat memintas prosedur dalaman tertentu.

Mereka mendakwa dia melantik pegawai khas walaupun mendapat bantahan daripada pengurusan kanan Suhakam berdasarkan penilaian individu itu untuk jawatan berasingan dalam suruhanjaya berkenaan.

Bagaimanapun, pengerusi itu menyangkal dakwaan tersebut dan berkata, semua keputusan dibuat dengan persetujuan pesuruhjaya Suhakam dan kemudiannya dimaklumkan kepada pengurusan kanan.

“Ia bukan sahaja keputusan saya. Kami (pesuruhjaya) berbincang dan bersetuju (mengenai pelantikan). Ia tiada kena mengena dengan keputusan peribadi saya untuk melantik (pegawai khas). Saya membawanya ke mesyuarat (pesuruhjaya), dan panel bersetuju dengan pelantikan itu.

“Kami tidak melakukan apa-apa secara rahsia. Ia tidak seperti itu. Semuanya diluluskan,” katanya.

Tindakan Rahmat untuk melantik pegawai khas menjadi tanda tanya kerana jawatan itu tidak disediakan mengikut  carta organisasi Suhakam.

Difahamkan sekurang-kurangnya tiga lagi pengerusi Suhakam sebelum ini tidak mempunyai pegawai khas tetapi bekerja dengan seorang pembantu peribadi bersama pengurusan kanan suruhanjaya itu.

Tindakan Rahmat telah menimbulkan kebimbangan bahawa pengurusan kanan Suhakam yang terdiri daripada seorang setiausaha dan tiga timbalan, telah diketepikan.

[Baca berita penuh]