Sivarraajh keluar MIC, kata jadi 'ancaman' pada kepimpinan
Bekas naib presiden MIC C Sivarraajh keluar dari parti itu hari ini, dua minggu selepas dia dilucutkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.
Dia yang juga seorang senator memaklumkan perkara itu mkepada presiden SA Vigneswaran menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini.
Dalam surat itu, Sivarraajh berkata dia letak jawatan sebagai ketua cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru dan juga keluar parti berkuat kuasa hari ini.
'Walaupun berat hati, saya terpaksa akur dengan pilihan ini kerana saya berpandangan lebih baik untuk saya keluar dari MIC kerana saya ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasan saya sebagai ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutama dari kepimpinan MIC.
"Sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lepas, saya yakin telah menumpukan sepenuh perhatian dan memberi komitmen yang cukup tinggi terhadap perjuangan parti...atas kapasiti sebagai setiausaha pemuda, ketua pemuda, naib presiden, calon pilihan raya, ahli parlimen dan terkini sebagai ahli Dewan Negara.
"Malangnya, beberapa peristiwa yang berlaku seketika berkhidmat di bawah kepimpinan Tan Sri (Vigneswaran) mengakibatkan saya untuk mengambil keputusan yang cukup menyedihkan ini," katanya dalam surat itu.
'Ancaman' kepada kepimpinan
Sivarraajh berkata keputusan itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan juga parti memandangkan dia dilihat sebagai "ancaman" kepada kepimpinan sedia ada dalam parti.
"Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara dari meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Jika ia terus berpanjangan, besar kemungkinan kelak mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti.
"Sejujurnya, saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan," katanya lagi.
Dia juga menyuarakan harapan agar MIC terus menjadi suara masyarakat India di Malaysia.
Sivarraajh dipecat daripada CWC MIC pada awal bulan ini.
Walaupun dia mendakwa dia tidak dimaklumkan sebab pemecatannya sumber MIC memberitahu bahawa tindakan itu ekoran kegagalannya menghadiri program 'Madani Government: Educational Development and Future of Indians' di Shah Alam pada 10 Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai