'Polis singgah rumah' amaran terhadap pihak sentuh isu 3R - Fahmi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengundang maklum balas negatif selepas memberitahu pengkritiknya bahawa mereka mungkin dikunjungi polis ketika sesi siaran langsung di TikTok malam tadi.
Pun begitu, Fahmi menjelaskan kenyataan ketika siaran langsung di TikTok malam tadi, berkata amarannya ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R (raja, kaum dan agama) dan bukan kerana kritikan.
Fahmi memberi amaran berkenaan pada penghujung sesi livenya malam tadi.
"Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan (3R) ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.
"Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti atau pun kalau ada radio car yang singgah di rumah anda.
"We are monitoring, behave yourself (kami memantau, jaga kelakuan anda)," katanya.
Klip rakaman kenyataan itu, serta laporan mengenainya, menimbulkan persoalan di media sosial jika Fahmi telah menyalahgunakan kuasanya - dengan Muda antara yang paling lantang.
"Dulu angkat kebebasan bersuara, kini nak ugut pengkritik di Tiktok.
"Inilah yang berlaku apabila orang meninggalkan prinsip untuk berkuasa.
"Hantarkan mereka (peringatan) 'wake up call' pada pilihan raya negeri akan datang," tegas Presiden Muda Syed Sadiq Syed Abdul Rahman.
Muda mengumumkan semalam bahawa ia akan menamatkan pakatan pilihan rayanya dengan PH dan akan bertanding secara solo pada pilihan raya negeri akan datang.
Sementara itu, Fahmi hari ini menjelaskan peringatan yang diberikannya bukan mengenai kritikan terhadap dirinya atau kerajaan.
Jelas menteri itu, kenyataannya menyasarkan pihak yang memainkan isu raja, kaum dan agama (3R).
"Apabila saya buat ‘live’ Tiktok dalam acara, selalu komen yang ditinggalkan (penonton) sentuh 3R.
"Saya dah selalu cakap, pengguna media sosial tidak patut perguna 3R untuk tujuan politik," katanya seperti dipetik FMT.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin turut menyoal jika kerajaan hari ini telah kembali ke era Najib Razak, apabila polis kerap digunakan terhadap pengkritik.
Satu lagi klip yang dikongsi oleh bekas ahli jawatankuasa eksekutif Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar, fail) yang lebih dikenali sebagai “Papagomo”, menunjukkan Fahmi memberi amaran kepadanya bahawa dia sedang disiasat.
Ini selepas ada pihak yang mendakwa Muhammad Azri telah mengeluarkan kata-kata yang menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai