Dr M tunggang Muda? Tanding solo PRN keputusan parti - SU agung
Keputusan Muda untuk bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dibuat oleh pucuk pimpinan parti selepas berunding dengan akar umbi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak luar.
Menurut Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi Muda tidak bertindak di bawah arahan orang lain.
"Ada yang cuba membayangkan Muda ditunggangi pihak lain (dalam konteks ini, Tun Mahathir Mohamad antaranya) untuk bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini secara solo.
"Mereka merasakan, kerana budaya politik mereka yang sentiasa dikawal oleh dinosaur politik, orang lain serta parti lain juga begitu," kata Amir pada satu kenyataan melalui akaun Facebook hari ini.
Amir menafikan dakwaan Muda ditunggangi oleh bekas perdana menteri itu, menegaskan keputusan untuk bertanding PRN dibuat oleh kepimpinan Muda secara konsensus melalui proses libat urus bersama akar umbi parti.
"Kerana parti ini dibina sendiri, kita tak perlu mengampu sebelum mengambil sebarang keputusan," jelasnya.
Menurutnya, Muda mengambil keputusan bertanding secara solo kerana negara perlu disedarkan mengenai pelbagai isu yang melanda pentadbiran semasa.
Amir memetik perlantikan politik dalam jawatan GLC, kegagalan untuk mereformasi institusi seperti SPRM, dan Umno yang sebelum ini dikaitkan dengan rasuah sudah "dibersihkan."
Tambah Amir, undang-undang zalim yang ditentang seperti Akta Univeristi dan Kolej Universiti (Auku), CMA, Akta Hasutan, Sosma dan lain-lain masih ada, tanpa sebarang usaha untuk dimansuh atau dipinda, malah masih digunapakai.
"Isu pokok seperti skandal LCS juga kini hanya menjadi picisan. Sehingga hari ini, tidak ada ‘jerung’ dibawa ke muka pengadilan. Malah, perbahasan juga ditolak.
"Siapa yang boleh nafikan perkara-perkara ini? Silakan," katanya.
Amir juga berkata Muda masuk dalam pentas demokrasi demi “memberi alternatif kepada dua gergasi” (gabungan PH/BN dan PN).
"Rakyatlah yang akan membuat keputusan, dan kita yakin dengan kematangan rakyat. Janganlah sehingga kita berpatah arang putus hubungan hanya kerana politik.
"Kita juga akan masuk kali ini dengan meminimakan perbelanjaan seminima yang mungkin, dengan majoriti kempen akan dijalankan secara atas talian (online) berbanding secara fizikal.
"Kita akan fokus menyediakan tawaran dan dasar, berbanding mengira berapa bendera dan banner yang digantung," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai