Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Umno hanya menumpang PH di Selangor, kata Noh

Noh Omar menyifatkan Umno telah hilang kekuatannya di Selangor dan kini hanya menjadi "penumpang" kepada sekutu barunya, PH.

Bercakap dalam ceramah PN di Shah Alam malam tadi, bekas pengerusi Umno Selangor itu berkata kini tiba waktunya untuk Bersatu, PAS dan Gerakan bangkit di Selangor.

"Sebagai bekas pengerusi BN Selangor, saya kecewa dengan (nasib) beberapa kerusi Umno pada PRN akan datang.

"Kalau Umno jadi penumpang, mana kehebatan BN? Justeru, hari ini PN mesti bangkit menggantikan BN," katanya yang dipecat Umno Januari lalu.

"Saya percaya dengan semangat PN. Insya-Allah dengan kerjasama yang ditonjolkan ini, PN akan menang PRN akan datang," katanya ketika program Jelajah Selangor Baru - Kita Bangkit malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang mengalu-alukan sokongan yang disuarakan Noh.

Menurut Azmin, dia menyambut sokongan Noh walaupun bekas ahli parlimen Tanjong Karang itu pernah menyerangnya ketika dia menjadi menteri besar Selangor.

"Masa saya jadi menteri besar, dia (Noh) hantar Jamal. Ingat Jamal?" kata Azmin merujuk bekas ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos yang dikenali dengan gimik politiknya yang mengundang perhatian.

Azmin antaranya mengimbas kembali tindakan Jamal yang pernah mendakwanya gagal menguruskan isu bekalan air Selangor dan muncul di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan hanya bertuala pada 2016.

"Rupa-rupanya di belakang Jamal, ada Noh. Tetapi sekarang dia sudah insaf.

"Kami dulu di zaman jahiliah. Dia dalam Umno, saya dalam PKR. Tetapi sekarang kami bergabung tenaga untuk Selangor baru," katanya lagi.

PN memulakan kempen di Selangor semalam menerusi pelancaran jenteranya.

Antara yang hadir adalah pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, serta barisan pemimpin peringkat negeri.