Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'PN menang di Selangor boleh jadi referendum kepada Putrajaya'

Kemenangan PN di Selangor dalam PRN boleh menjadi referendum kepada kerajaan persekutuan, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PN di Shah Alam, hari ini.

"Sebab itu penting bagi kita minta pengundi Selangor bagi peluang kepada kita...

"Kita nak gunakan ini (PRN di Selangor) sebagai satu referendum, mulakan dengan Selangor," katanya.

Muhyiddin juga menyuarakan keyakinan gelombang sokongan rakyat terhadap PN pada PRU lalu akan berterusan pada PRN enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Malam ini PN memulakan usahanya untuk merampas negeri PH tersebut menerusi 'Jelajah Selangor Baru Kita Bangkit' di Shah Alam, bermula 8.30 malam.

PN menguasai tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PH mentadbir Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

PRN enam negeri ini menyaksikan BN buat kali pertama memasuki gelanggang pilihan raya dengan bekerjasama dengan PH.

Dalam pada itu, dia berkata semua penyokong perlu akur dengan keputusan kepimpinan dalam soal pengagihan kerusi dan calon.

"Saya muktamadkan pembahagian kerusi...Selangor telah dimuktamadkan lebih awal.

"Terima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan, bila parti buat keputusan wajib terima...Terima saja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan," katanya.