Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Agama dan politik dalam demokrasi kontemporari

ULASAN | Buku Topeng Politik: Agama dan Parti Politik dalam Demokrasi Kontemporari yang ditulis oleh profesor di Universiti Turin, Itali, Luca Ozzano, bermula dengan membentangkan literasi terpenting yang berkaitan peranan agama dalam parti politik dan dasar negara, terutamanya demokrasi atau yang berorientasikan demokrasi.

Ia adalah peranan yang berubah-ubah, bukan sahaja angka rakyat yang mengundi dalam pilihan raya, tetapi juga menyentuh corak keagamaan dalam politik, sehingga faktor agama muncul dalam pelbagai jenis parti serta organisasi politik, sebagaimana sekularisasi dan kecenderungan konservatif.

Beliau membuat kesimpulan dengan analisis keseluruhan yang menyatakan bahawa sekularisasi adalah tema dominan dalam literasi yang berkaitan dengan agama dan politik sepanjang abad ke-19 dan ke-20.

Idea sekularisasi dan kemodenan barangkali merupakan salah satu halangan terpenting perkembangan pendekatan baharu terhadap fenomena agama dalam politik.

Ia berkisar bagaimana parti-parti menggunakan agama dalam wacana popular untuk ‘memancing’ hati pengundi agama untuk mengikuti dan memenangkan undi mereka dalam pilihan raya, serta bagaimana trend politik beralih dalam ufuk idea agama, dan sebaliknya, iaitu agama trend dalam ufuk politik.

Topeng politik agama

Agama mewakili salah satu dimensi penting dalam budaya, identiti dan persepsi manusia, sama ada mereka beragama atau tidak beragama, dan ini melampaui jurang agama-sekular, untuk mengatakan bahawa agama hadir dalam cara yang berbeza dalam kalangan pelbagai aktor, seperti parti, organisasi, kumpulan mahupun individu.

Buku tersebut bercakap tentang agama menjadi ‘topeng untuk aktor politik dan bukan wajah sebenar mereka,’ dengan mengandaikan bahawa ada seseorang yang sebenarnya mewakili agama sebagai wajahnya.

Akibatnya, agama tidak lagi penting sebagai amalan atau sistem kepercayaan, sebaliknya sebagai ‘ciri identiti dalam konteks identiti populis sayap kanan berdasarkan visi masyarakat tradisional dunia.’

Oleh itu, orang ramai menerima kewujudan pemimpin politik yang menggunakan nilai dan simbol agama dalam bidang politik, dengan kata lain menjadi terkenal kerana komitmen peribadi atau mereka mengamalkan gaya hidup yang secara jelas bertentangan dengan asas-asas agama mereka.

Barangkali, ia boleh diistilahkan sebagai parti berorientasikan agama untuk mengelakkan generalisasi mutlak tentang parti dan agama, terutamanya dengan dimensi keagamaan yang semakin meningkat dalam fenomena partisan dan politik secara umum, dan dalam kalangan pelbagai parti juga program politik.

Agama dan demokrasi

Dikatakan bahawa ajaran agama tertentu seperti Roman Katolik di Itali dan demokrasi Kristian di Jerman, adalah penting dalam membentuk (dan membentuk semula) budaya politik di sana, selepas pengalaman rejim totalitarian.

Peranan agama dalam proses peralihan demokrasi mendapat perhatian besar semasa gelombang ketiga demokrasi (dari pertengahan 1970an hingga akhir 1990an).

Sebagai contoh, sering dinyatakan bahawa gereja Roman Katolik memainkan peranan penting dalam melemahkan rejim komunis di Poland dan dalam membantu meletakkan asas bagi tadbir urus demokrasi yang bertanggungjawab dalam era pascakomunis.

Ini bertepatan dengan kemunculan fenomena sayap kanan di banyak negara seperti Amerika Syarikat, serta fenomena agama dan jihad di beberapa negara Islam, terutamanya Revolusi Islam di Iran, fenomena nasionalis Hindu di India, dan fundamentalisme Yahudi dalam entiti Israel (pendudukan Palestin).

Walau bagaimanapun, terdapat lebih banyak persepsi stereotaip negatif mengenai fenomena agama dalam politik, yang menjejaskan pemahaman parti-parti yang berorientasikan agama.

Parti-parti ini cuba menyesuaikan diri dengan realiti, menangani segmen pengundi yang lebih luas melebihi segmen agama, memasuki pakatan pilihan raya dan politik, seterusnya mengambil kira pertimbangan undang-undang dan politik, juga ideologi yang ada atau yang memerintah, dan mengandungi persepsi ancaman aktor sekular juga moden.

India: Antara sekularisme dan sektarian

Sebagai contoh realitinya, kehadiran faktor agama dalam dinamika politik partisan di India semakin meningkat dengan kemaraan Parti Bharatiya Janata paling menonjol dalam dekad kedua abad ke-21.

Kehadiran ini telah mengorbankan Parti Kongres yang memerintah India selama beberapa dekad dalam peringkat pascakemerdekaan, dan Parti Bharatiya Janata mengamalkan agama Hindu secara umum.

Walau bagaimanapun, identiti agama atau penggunaan agama dalam politik tidak eksklusif kepada parti yang disebutkan di atas. Ini berikutan Parti Kongres turut melakukannya.

Parti Bharatiya Janata sedang mengubah taktiknya dalam hal ini, menolak kenyataan yang melampaui garis agama bagi memasukkan penganut agama lain dan menerima pakai kenyataan politik dan sosioekonomi yang melampaui garis tradisinya, serta pangkalan pilihan raya, sama ada agama atau wilayah.

Ia mengamalkan wacana yang berkisar antara ekstremisme dan kesederhanaan, bergantung kepada keadaan, dan perubahan kepimpinan dan barisan pakatan bahagian di peringkat wilayah, negeri, agama, etnik, bahasa, kelas dan lain-lain.

Demokrasi Kristian kepada Populisme

Fenomena agama datang untuk mewakili konsep utama dalam fenomena partisan, bukan dengan kewujudan parti yang mewakilinya seperti yang berlaku sebelum ini dengan parti Demokrasi Kristian.

Tetapi ia lebih kepada kehadiran agama dan dimensi agama dalam wacana serta tingkah laku pelbagai pihak, termasuk yang berhaluan kiri apalagi sekular, sama seperti parti agama mengubah suai atau menyesuaikan orientasi mereka.

Penyesuaian berlaku dari sudut retorik, corak kerja dan organisasinya untuk mendapatkan kelonggaran yang membolehkannya menarik orang atau segmen yang tidak beragama secara tradisi atau berlatarbelakangkan sekular.

Manakala sistem parti di Turkiye dibentuk sebahagian besarnya melalui pembahagian tradisional: kawasan tengah-pinggir, agama-sekular, kiri-kanan, tentera-sivil, barat-tengah dan timur wilayah negara, Turk-Kurd, Sunni-Alevi.

Walau bagaimanapun, ia ditadbir oleh garis utama yang diwakili oleh penguasaan tentera ke atas politik selama beberapa dekad, dan kemudian kemunculan polarisasi sekular-agama, yang secara beransur-ansur cenderung memihak kepada fenomena agama Islam.

Perkara itu mencapai tahap di mana Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) mengambil alih kerajaan, memusatkan kuasa di tangan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan menerima pakai dasar hibrid yang merangkumi pelbagai pembentukan ideologi, sosial dan ekonomi, tetapi dalam kerangka sayap kanan Islamis.

Pada awal penubuhannya, AKP dipuji ramai sebagai model keserasian antara Islam dan demokrasi, juga sebagai prototaip untuk pembangunan gerakan demokrasi Islam yang mampu mencapai transformasi demokrasi di Timur Tengah.

Walau bagaimanapun, idea-idea ini telah dicurigai memandangkan peningkatan orientasi autoritariannya dan nada fundamentalis serta nasionalis yang semakin meningkat dalam ucapannya.

Islam dan demokrasi

Barangkali, Tunisia adalah satu-satunya negara reformasi demokrasi yang berjaya di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara selepas revolusi Arab Spring, walaupun kebanyakan negara di rantau itu adalah tidak demokratik. Namun persoalan utamanya, adakah Islam serasi dengan demokrasi?

Gerakan Ennahda di Tunisia merupakan contoh penyesuaian gerakan Islam terhadap kekangan politik.

Tingkah laku gerakan selepas Revolusi Tunisia pada 2010 adalah penting dalam merealisasikan had aspirasi agama dalam politik, dan ini merupakan fenomena yang mendalam dalam perkembangan gerakan tersebut, yang berterusan sejak pemerintahan bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali.

Ennahda mewakili tonggak untuk kestabilan sistem politik demokrasi di Tunisia, walaupun keadaan membimbangkan dengan pemecahan politik yang semakin meningkat dan kemerosotan dalam pengaruh parti politik negara.

Pergerakan Ennahdha mungkin mewakili pengecualian Arab dan Islam, tetapi penelitian lebih lanjut tentang keadaan dan perkembangan negara membantu menjelaskan misteri Tunisia di satu pihak, dan menyiasat kemungkinan kejayaan eksperimen penyesuaian di negara Arab dan negara Islam yang lain.

Apakah peranan Islam dalam politik?

Bagaimanakah hubungan antara agama, negara, dan politik dapat disusun untuk mencapai keharmonian antara komponen masyarakat bagi mencapai kestabilan yang diperlukan untuk pembangunan serta kesejahteraan?

Apakah peranan Islam dalam kehidupan politik? Secara lebih luas, apakah peranan Islam di negeri ini, termasuk sistem politiknya? Apakah had peranan yang boleh dimainkan oleh parti berorientasikan Islam dalam kerangka sistem politik negara?

Realitinya, persoalan ini masih menimbulkan perbincangan tanpa henti dalam masyarakat, terutamanya selepas apa yang dikenali sebagai Arab Spring, yang mengakibatkan penyertaan pihak-pihak yang mempunyai rujukan Islam dalam pemerintahan di beberapa negara Arab.

Contohnya penyertaan gerakan Ennahdha dalam tadbir urus di Tunisia, pengalaman Parti Keadilan dan Pembangunan (JDP) dalam pemerintahan di Maghribi atau kedatangan Ikhwan Muslimin untuk berkuasa di Mesir untuk tempoh yang terhad.

Pengalaman ini berbeza-beza dari segi kejayaan atau kegagalan mereka, tetapi ia mencetuskan perdebatan meluas tentang peranan yang boleh dimainkan oleh parti berasaskan Islam dalam kancah politik.

Dalam konteks ini, kepentingan pergerakan Ennahda mengisytiharkan dalam persidangan terakhirnya tentang pemisahan bahagian advokasi dari sisi politik, satu amalan yang telah dilakukan oleh pergerakan itu sejak revolusi di Tunisia pada awal 2011.

Dr Abdelfattah Mourou, Naib Presiden Perhimpunan Perwakilan Rakyat di Tunisia dan Naib Presiden gerakan Ennahda, berkata:

"Kami adalah gerakan dakwah 40 tahun yang lalu, tetapi kami melihat keperluan untuk memisahkan dakwah daripada politik selepas revolusi, maka pendekatan ini ditekankan dan diumumkan pada persidangan parti yang lalu kerana tidak perlu lagi gerakan menyeluruh yang melakukan segala-galanya, sebaliknya lebih baik mengkhususkan di tempat kerja (politik) kerana ia penting untuk pencapaian.”

Mengenai tuduhan menggunakan agama untuk tujuan politik, Mourou berkata bahawa beliau menyeru orang ramai agar mengundi partinya dan bukan untuk mengundi atas dasar fahaman agama.

“Kami tidak memberitahu sesiapa bahawa ‘modal’ kami adalah agama, dan sesiapa yang menentang kami adalah menentang agama. Sebaliknya, kami katakan, ini adalah tawaran kami untuk menangani masalah masyarakat. Maka, marilah bersama kami.”

Kompetensi dalam ilmu politik

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Majalah Points of View, dan bekas penasihat kepada Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Morsi, Ayman al-Sayyad, percaya bahawa adalah hak mereka yang mempunyai ilmu Islam untuk mengambil bahagian dalam arena politik, tetapi dengan syarat dan kompetensi apatah lagi berhati-hati dengan diktator.

Ini kerana ia adalah salah satu jenis pemerintahan diktator yang paling teruk, kerana demokrasi bukan hanya peti undi, tetapi berdasarkan intipatinya konsep kewujudan yang lain, dan penerimaan bahawa ia mempunyai hak yang sama, walaupun yang satu ini adalah milik minoriti.

“Tiada masalah untuk mempunyai parti atau organisasi politik berdasarkan idea-idea yang bersifat keagamaan, sekular atau haluan kiri, dan tidak sepatutnya ada peranan yang telah ditetapkan untuk parti politik.”

“Setiap pemegang pendapat mempunyai hak untuk memperjuangkan idea-ideanya, termasuk golongan Islamis, tetapi tiada siapa yang berhak untuk memaksa mengundinya dalam pilihan raya, kerana mereka (pengundi) adalah orang yang mempunyai hak eksklusif untuk memilih,” kata Al-Sayyad.

Dalam pada itu, profesor psikologi sosial di Universiti Lubnan, Dr Mona Fayyad bersetuju bahawa keadaan jelas berbeza antara Mesir, Tunisia dan Maghribi.

Di Tunisia sebagai contoh, revolusi bermula di kawasan luar bandar dan disokong oleh gerakan kesatuan sekerja yang luas, dan masyarakat yang diasaskan oleh Bourguiba lebih terbuka daripada di Mesir.

Manakala, profesor sains politik di Universiti Amerika Di Kaherah, Dr Ahmed Abd Rabbo dalam tulisannya mengenai hubungan antara agama dan negara, percaya bahawa adalah tidak mungkin untuk mendakwa bahawa "Islam adalah penyelesaian" kerana tuntutan ini gagal apabila digunakan di beberapa negara.

Agama, seperti seni, adalah salah satu formula mental yang mewakili dunia dengan cara yang menjadikan jangkauan rohani dan moral sebagai doktrin pemikiran dan kehidupan pada masa yang sama, dan bukan kemajuan pengetahuan mahupun pembebasan individu daripada sistem asuhan dan penindasan menghalang penerusan pengalaman manusia yang besar tersebut.

Kesenjangan corak pemikiran dan nilai tidak semestinya bermaksud kemerosotan agama, sebagaimana perkembangan ilmu sains dan penguasaan sains terhadap kehidupan praktikal tidak menafikan kewujudan formula lain yang mewakili realiti atau kewujudan dan alam semesta yang juga mempunyai bahagian rasional yang berbeza kriterianya daripada rasionaliti yang disebut oleh pemilik falsafah kritis.

Rasional instrumental

Hubungan individu dengan kewujudan bukan sahaja hubungan kognitif objektif seperti yang ditunjukkan oleh seni, etika dan emosi, sebaliknya hubungan pelbagai peringkat dan pelbagai dimensi.

Maka, dalam realiti semasa negara ini, wajarkah mana-mana parti politik mendakwa partinya sahaja yang benar dan 'lebih Islam,' sedangkan mereka yang tidak mengikuti partinya dianggap terpesong daripada landasan agama?

Sewajarnya pemimpin dan penyokong mana-mana parti membuang sifat melampau sebegini yang boleh menimbulkan ketegangan kerana menganggap orang lain telah 'terpesong' kerana tidak menyokong partinya.

Masyarakat pula seharusnya semakin celik dan bijak menilai bahawa parti politik bukanlah agama, dan tidaklah menjejaskan pegangan agama sekiranya mereka tidak bersama-sama dengan sesebuah parti yang membawa nama agama.

Apa yang penting, penilaian haruslah berdasarkan sejauh mana prestasi pemimpin dan sesebuah parti itu memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat dan negara, selain menunjukkan akhlak dan nilai-nilai mulia yang disuruh agama.

Selamat berfikir dan menterjemahkan kebenaran yang benar.


ATRIZA UMAR merupakan Felo Nusantara Academy For Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.