Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bahang PRN S'gor: Dua ceramah mega di Shah Alam esok

Bahang pilihan raya negeri (PRN) semakin terasa di Selangor hanya sehari selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selepas beberapa siri acara yang diadakan di pinggir bandar, gabungan utama Pakatan Harapan-BN dan Perikatan Nasional (PN) akan tampil di Shah Alam esok untuk melancarkan jentera pilihan raya parti mereka secara rasmi.

PN Selangor dalam notis mereka berkata 5,000 perwakilan dari seluruh negeri akan berkumpul mulai 2.00 petang esok di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Setiausaha PN Selangor Afif Bahardin berkata acara esok akan turut dihadiri pemimpin tertinggi termasuk Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Pemimpin PN juga akan melancarkan jentera PN Selangor pada majlis tersebut.

Kemudian di tempat yang sama, penganjur menganggarkan sehingga 10,000 penyokong PN dijangka berkumpul untuk ceramah 'Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit' mulai 8.30 malam.

Pada satu ketika, ceramah PN akan diadakan serentak dengan 'Jelajah Mega Madani Negeri Selangor' anjuran PH di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir bagi pihak pemimpin pusat dan melancarkan jentera pilihan raya bersama parti itu pada 8.15 malam.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin.

PH bersama BN sebagai sekutu baru sedang berusaha mempertahankan Selangor daripada PN. PN juga kini dengan sekutu baru yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.

Komposisi DUN sebelum pembubaran menyaksikan PH memegang 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua), manakala PAS , Pejuang, dan Warisan masing-masing memegang satu kerusi, selain satu lagi kerusi disangan wakil bebas.

Kerusi Batang Kali bagaimanapun diisytiharkan kosong selepas wakil rakyat itu gagal menghadiri persidangan dewan selama lebih enam bulan.