Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Guan Eng, isteri fail permohonan batal kes rasuah, pengubahan wang haram

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew Gek Cheng hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang untuk membatalkan kes rasuah dan pengubahan wang haram mereka.

Peguam mereka, RSN Rayer mengesahkan dengan Malaysiakini berhubung perkara ini.

Menurut kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini, kedua-dua mereka berhujah bahawa pertuduhan semasa terhadap mereka adalah sama yang dilemparkan terhadap Lim pada 2016, yang menyaksikan dia dibebaskan pada 2018.

Ini adalah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Menerusi salinan afidavit menyokong permohonan itu, mereka mendakwa bahawa pertuduhan ketika ini melanggar hak asasi mereka berhubung pertuduhan atas kesalahan yang sama yang menyaksikan mahkamah jenayah memberikan pembebasan.

Lim dan Chew bergantung pada prinsip undang-undang 'double jeopardy' (pendakwaan dua kali), iaitu seseorang tertuduh tidak boleh dibicarakan semula atas pertuduhan yang sama atau serupa, selepas pembebasan atau sabitan.

"Saya dan isteri saya telahpun disiasat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan prosiding kedua (kes semasa) pada tahun 2016 seperti yang didedahkan dalam fakta- fakta dan keterangan di atas (kertas kausa).

"Pertuduhan bagi prosiding kedua merupakan siri kesalahan dan sifat yang sama seperti yang dituduh di dalam prosiding pertama (yang berakhir dengan keputusan Lim dibebaskan)," kata pasangan suami isteri itu dalam dokumen berkenaan.

Lim dan Chew berhujah bahawa pertuduhan sekarang melanggar prinsip pendakwaan dua kali.

Malaysiakini cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

Pada 26 Mei lalu, pasukan undang-undang Lim dan Chew serta ahli perniagaan Phang Li Koon memaklumkan mahkamah jenayah bahawa mereka berusaha untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Ahli perniagaan Phang Li Koon

Phang, yang didakwa bersama Lim pada 2016, juga dibebaskan pada 2018. Pada 2020, dia diheret sekali lagi ke mahkamah jenayah bersama Lim dan Chew.

Pada mulanya mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di Butterworth pada 2020. Kes ketiga-tiga mereka kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di George Town. Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Sept tahun ini untuk sebutan kes.

Pada 11 Ogos 2020, Lim didakwa - atas kapasitinya sebagai ketua menteri ketika itu dan pengerusi Lembaga Perolehan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) - menggunakan jawatannya untuk suapan membabitkan RM372,009 untuk isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd .

Pertuduhan mendakwa ini adalah untuk memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan jemputan untuk mencadangkan perkampungan pekerja - di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, dan sebahagian daripada Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan , Pulau Pinang - yang bernilai RM11,610,000.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat ketua menteri, Aras 28 Komtar, di George Town.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan .

Phang didakwa bersubahat dengan Lim melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama.

Chew didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan didakwa menerima RM372,009 daripada sebuah syarikat melalui akaun banknya.

Chew didakwa menerima masing-masing RM87,009, RM180,000 dan RM105,000, yang didakwa sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, daripada Excel Property Management & Consultancy, dan yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Bhd miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, bagi pertuduhan pertama, antara 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015, bagi pertuduhan kedua, dan dari 4 Sept 2015, hingga 3 Mac 2016, untuk pertuduhan ketiga.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, cawangan Taman Melaka Raya di Melaka.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2002 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lim, 62, Chew, 58, dan Phang, 50, minta dibicarakan bagi semua pertuduhan.

Di hadapan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Lim mempunyai perbicaraan rasuah yang sedang berlangsung yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.