Astana Sarawak lapor polis berita palsu keadaan kesihatan Taib Mahmud
Astana Negeri Sarawak membuat laporan polis berhubung berita palsu mengenai keadaan kesihatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Yang di-Pertua Negeri Peter Sibon dan beberapa wakil dari Astana di Balai Polis Gita di Kuching.
Bercakap kepada pemberita, Peter berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara berkenaan supaya berita palsu yang telah tersebar itu dapat dihentikan segera.
“Kami harap polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebaran berita palsu itu yang menyatakan bahawa Tun (Abdul Taib) tidak sihat, Tun nazak malah ada dakwaan Tun sudah meninggal dunia.
“Kita tidak dapat mengenal pasti (punca berita palsu itu), kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat bagaimana dan asal usul serta sumber berita palsu itu,” katanya.
Semalam, Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua, Junih Salleh Ahmad dalam kenyataan berkata Abdul Taib berada dalam keadaan sihat dan baik, justeru, menolak khabar angin yang tersebar mengenai keadaan kesihatan beliau seperti yang disebarkan di media sosial.
Junih berkata semua berita yang tular dan tidak sahih berhubung keadaan kesihatan Abdul Taib adalah tidak benar sama sekali dan ia adalah palsu.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai