Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penggabungan Ambank hanya spekulasi

AMMB Holdings Bhd (AmBank) menjelaskan laporan media baru-baru ini melibatkan Kumpulan AmBank berhubung penggabungan dan pengambilalihan (M&A) adalah spekulatif semata-mata.

“Seperti yang anda sedia maklum, kami dikawal oleh keperluan pendedahan yang berat tuntutannya.

"Sekiranya dan apabila kami mempunyai apa-apa yang berkaitan untuk diumumkan, mengikut amalan  terbaik dan tadbir urus korporat, pengumuman Bursa akan dibuat," kata AMMB kepada Bernama hari ini.

Pada Khamis, Kenanga Research dalam notanya menyatakan "ini mungkin masa yang sesuai bagi M&A untuk AmBank melihatkan kepada prospek pasaran dan iklim makroekonomi semasa."

Menurutnya tinjauan asas AmBank dan iklim prospek makroekonomi semasa "boleh memberikan peluang yang lebih sesuai" untuk penggabungan.

Hanya setahun yang lalu, pasaran telah membicarakan kemungkinan perbincangan penggabungan antara AmBank dan RHB Bank Bhd, serta potensi pengambilalihan pegangan dalam Ambank oleh Grab Holdings Ltd.

Sementara itu, RHB Bank Bhd berkata bank itu tidak mengintai sebarang peluang M&A pada masa ini. Namun, sekiranya peluang muncul dengan sendiri, bank akan menilai dan menaksir daya majunya.

“Pada masa ini, di bawah strategi korporat tiga tahun Kumpulan Perbankan RHB iaitu ‘Together We Progress 2024 (TWP24)’, kami memberi tumpuan terutamanya pada pertumbuhan secara organik.

“TWP24 kami tertumpu kepada tiga objektif strategik – Be Everyone’s Primary Bank, Prioritise Customer Experience dan Drive Quality Growth, kami akan terus mengamalkan budaya mengutamakan pelanggan yang kukuh dan mempertingkatkan idea yang mengutamakan pelanggan,” katanya.

- Bernama