Tiada ucapan terima kasih dari pendaki? Cuma salah faham - Malim Everest
Musim pendakian Gunung Everest kali ini antara yang paling dahsyat, dengan 12 orang disahkan meninggal dunia dalam ekspedisi, dan lima lagi masih hilang.
Pendaki Malaysia, bekas pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub antara yang terkorban dalam misi pendakian ke puncak tertinggi dunia itu.
Pendaki OKU pendengaran Malaysia Muhammad Hawari Hashim pula dipercayai hilang di Kem Empat selepas tiba di puncak sejak 19 Mei lalu.
Pendakian Everest juga menimbulkan kontroversi baru-baru ini susulan dakwaan ucapan terima kasih yang terlewat oleh pendaki Malaysia T Ravichandran, yang diselamatkan dari "ambang kematian" oleh malim gunung Nepal.
Penyelamatnya, Gelje Sherpa (gambar, atas) tampil menjelaskan kontroversi itu dengan berkata, ia berpunca daripada salah faham yang kemudian mendapat perhatian tidak wajar.
Tanpa membuat perincian, Gelje, 30, memberitahu Malaysiakini dalam temu bual telefon: “Kami berkawan dan kami kerap menghantar mesej antara satu sama lain.
“Dia menghantar mesej kepada saya dan menghubungi saya sendiri dari Malaysia untuk mengucapkan terima kasih.
"Kami tidak dapat bertemu antara satu sama lain selepas misi menyelamat itu kerana saya masih di Everest dan dia berada di Kathmandu tetapi dia telah berterima kasih kepada saya,” katanya.
Tindakan Gelje menyelamatkan Ravichandran (gambar, atas) menjadi tular pada akhir Mei dan mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa.
Bagaimanapun, warga maya pula berasa tersinggung bagi pihak Gelje apabila Ravichandran gagal menyebut nama penyelamatnya dalam mana-mana temu bual atau siaran media sosial selepas dia pulang ke Malaysia.
Pendaki gunung Ravichandran, 58, yang menakluki Everest tiga kali tetapi kehilangan lapan jari akibat luka beku (frostbite) dalam ekspedisi berkenaan, menghadapi kritikan kerana tidak menyebut Gelje sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak penaja, insurans penyelamat dan organisasi rakan kongsi.
Ravichandran dituduh menyekat komen dan akaun Instagram Gelje namun Gelje menganggap kejadian itu sebagai salah faham, berkata "semuanya baik-baik saja".
Sebelum ini, Ravichandran telah merancang untuk menakluki Gunung Lhotse - gunung keempat tertinggi di dunia - dalam masa 24 jam selepas mendaki Everest, tetapi dia menghadapi kesukaran semasa turun.
Ravichandran berkata ia pengalaman yang menundukkan dirinya dan memohon kesabaran daripada rakyat Malaysia untuk dia melepasi pengalaman pahit itu.
Menyelamat di ketinggian lebih 8,400m
Malim gunung Nepal dari etnik Sherpa itu dilaporkan mendapati Ravichandran, 58, dalam kesusahan di "zon kematian" beberapa ratus meter dari puncak.
Keadaan suhu beku dan tahap oksigen yang rendah meningkatkan risiko seseorang.
Gelje, dengan berat badan 59kg dan tinggi 1.6m dan membawa kelengkapan seberat 6kg, kemudian memikul Ravichandran - yang mempunyai berat lebih daripada 80kg termasuk kelengkapannya.
"Ia adalah sukar kerana saya terpaksa membawa dia turun dari balkoni," katanya, merujuk kepada lokasi stesen cuaca tertinggi di bumi (Stesen Balkoni) terletak pada ketinggian kira-kira 8,430m.
"Saya membawanya turun kira-kira 600m tetapi ia sangat sukar kerana ia dari kawasan melebihi 8,000m," katanya yang telah melakukan kira-kira 50 penyelamatan sepanjang 11 tahun menjadi malim gunung.
Gelje berkata dia mempunyai tangki oksigen yang cukup dan dapat berkongsi dengan Ravichandran.
Jelas malim gunung itu, dia dan pelanggannya - seorang pendaki China - belum sampai ke puncak, justeru belum kehabisan bekalan udara mereka.
Gelje ketika wawancara AFP berkata ramai pendaki telah melepasi Ravichandran tanpa berhenti membantu kerana mereka mengutamakan kelangsungan hidup sendiri.
Kata Gelje lagi, Ravichandran telah menghabiskan masa selama 30 jam pada aras ketinggian melebihi 8,000m manakala dia dan malim gunungnya telah kehabisan bekalan oksigen mereka.
"Saya ditemui di Kem 4 oleh Ngima Tashi Sherpa, yang membantu saya melalui medan yang sukar," kata Ravichandran.
Malim gunung lain yang menjadi sebahagian daripada usaha menyelamat sepanjang perjalanan itu ialah 14 anggota Ekspedisi Peaks Ming Tenji Sherpa, Nima Dorchi Sherpa, Dawa Sherpa, Dipen Bhote, dan penyelaras penyelamat kem pangkalan Tashi Lakpa Sherpa, yang juga ketua ekspedisi pasukan.
Gelje dilaporkan berkata pelanggannya - pendaki dari China itu - akhirnya memahami bahawa dia sedang menyelamatkan Ravichandran daripada kematian.
Sementara itu, Gelje kini sedang bersiap sedia untuk ekspedisi seterusnya ke Gunung Gasherbrum 1 dan 2 di Pakistan, dalam beberapa hari akan datang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai