Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Acryl Sani: Saya tinggalkan PDRM dengan hati terbuka

Selepas 37 tahun mencurah bakti, bekas Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Sang Saka Biru.

Majlis Paluan Berundur yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, petang tadi dihadiri lebih 500 pegawai kanan dan isteri masing-masing, simbolik sebagai penghormatan terakhir buatnya yang hadir ditemani isteri Ir Zaitun Mohd Isa.

Hadir sama Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Majlis bermula pada lima petang itu diserikan dengan lintas hormat pesawat Pasukan Gerakan Udara dan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Acryl Sani diberi penghormatan memimpin persembahan itu.

Sebelum majlis berakhir, Acryl Sani, 62, bersama isteri diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal Pulapol.

Acryl Sani dilahirkan pada 3 Okt 1961 di Petaling Jaya, Selangor dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Mei 2021 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Abdul Hamid Bador yang tamat perkhidmatannya pada 3 Mei 2021.

Dia yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM), memulakan perkhidmatannya pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Asisten Superintenden Polis dengan menjalani Latihan Asas Kepolisan di Pulapol, Kuala Lumpur.

Sepanjang perkhidmatannya, dia telah menyandang pelbagai jawatan penting antaranya Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Bukit Aman selain diberi kepercayaan untuk mengetuai Kontinjen Terengganu, Sarawak dan Perak.

Terdahulu ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani berkata tiada kejanggalan dalam proses peralihan kuasa kepimpinan PDRM membabitkan dirinya dengan timbalannya Razarudin Husain yang akan memulakan tugas secara rasmi esok.

"Saya meninggalkan tampuk pemerintahan pasukan ini dengan hati yang terbuka…saya percaya anggota yang masih berkhidmat dapat meningkatkan imej dan kualiti PDRM ke tahap yang lebih tinggi.

“Sentiasa ingat logo kita, ingatlah slogan kita, sedia berkhidmat, polis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan," katanya.

-Bernama