Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Bila masa saya dan Hamzah bertumbuk?'

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan khabar angin yang mendakwa wujud keretakan dalam Bersatu.

Bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PN, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menyifatkan khabar angin itu sebagai "perang saraf" oleh seteru mereka.

“Tiada langsung masalah antara PAS, Bersatu dan Gerakan.

“Ini dibuat sebab dah tiada modal. Padahal parti paling harmoni ialah PN. PAS, Bersatu, Gerakan tiada masalah langsung. Dalaman masing2-masing pun damai.

“Kami bertengkar pun tiada, sengaja dibuat-buat saja. "Bila masa saya dan Hamzah (Zainudin) bertumbuk? Jangan percayalah. Ini psywar (perang saraf), pihak-pihak cybertroopers dan mereka yang menggunakan media sosial untuk alih dari isu pokok,” katanya.

Muhyiddin merujuk kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, yang turut hadir di ibu pejabat PN hari ini.

Ahli parlimen Pagoh itu diminta mengulas mengenai laporan media yang memetik sumber yang mendakwa kedua-dua pemimpin Bersatu itu bertelagah berhubung hala tuju Bersatu.

Sumber terhad

Sementara itu, Muhyiddin juga mengakui Bersatu akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dengan sumber kewangan yang terhad kerana akaun parti itu masih dibekukan susulan siasatan SPRM yang sedang berlangsung.

"Sudah tentu apabila pilihan raya tiba seperti ini semua pihak memerlukan sejumlah sumber untuk memastikan jentera berfungsi dengan lancar," katanya ketika ditanya sama ada keadaan itu akan menjejaskan persiapan PN.

“Hakikat bahawa akaun Bersatu dibekukan, kita telah mengambil kira perkara itu.

“Tetapi yang bagusnya kebanyakan pemimpin parti memahami keadaan itu dan sanggup bekerja keras serta memikul tanggungjawab serta kos untuk meminimumkan beban parti (Bersatu),” kata Muhyiddin.

Memandangkan keadaan itu, Muhyiddin berkata semua komponen PN akan menggunakan sumber perkongsian mereka untuk pilihan raya.

“Sudah tentu pada masa yang sama, apabila kita bertanding, kita bertanding di bawah PN.

"PAS, Bersatu dan Gerakan akan menyatukan usaha kita dan apa sahaja sumber yang kita ada, kita akan kongsi untuk memastikan kita menang pilihan raya," katanya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, setiap calon pilihan raya negeri dikehendaki membayar deposit RM8,000. Daripada jumlah itu, RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 untuk bahan kempen.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Bersatu akan meletakkan 83 calon di enam negeri yang mengadakan PRN.

Berdasarkan peraturan SPR, ini bermakna Bersatu sahaja memerlukan sekurang-kurangnya RM664,000 untuk menampung semua deposit.