Muhyiddin: PRN akan datang bukan tentang isu 3R
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menepis kebimbangan gabungan itu akan menggunakan isu berkaitan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) ketika kempen PRN akan datang.
Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat presiden PN, Muhyiddin berkata mereka akan mengangkat isu berkaitan rakyat yang didakwa diabaikan kerajaan pada masa ini.
"Ia bukan berkaitan agama, kaum...kita melayan semua rakyat Malaysia secara saksama.
"Perkara (utama) adalah bagaimana kita menangani isu yang sedang dihadapi - inflasi, kos sara hidup, harga barang dan perkhidmatan yang meningkat, membantu perniagaan.
"Ini adalah mesej utama yang kita mahu angkat dalam kempen, yang telah kita lakukan," katanya di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau dan barisan pimpinan tertinggi PN yang lain.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN kini di peringkat terakhir untuk memuktamadkan manifesto di setiap enam negeri.
"Ia akan diumum di peringkat negeri, tentang apakah tawaran-tawaran oleh kerajaan PN (jika menang)," katanya.
Pada masa ini, PN menerusi PAS memimpin tiga kerajaan negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, sementara PH menerusi PKR dan DAP memimpin kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Ditanya berkenaan sasaran peratus keluar mengundi, Muhyiddin mendakwa ramai pengundi yang marah dengan apa yang berlaku selepas PRU15, atau apa yang didakwa tidak dilakukan.
"Kita benar-benar memerlukan bantuan tetapi kerajaan perpaduan tidak mendengar suara mereka yang benar-benar terkesan. Saya rasa ini kunci kepada isu.
"Saya jangka ramai yang agak belum bersedia untuk keluar mengundi...Kita harap kadar keluar mengundi tinggi (dan) lebih baik daripada PRU15," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai