Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sanusi: Lapangan terbang Kulim tak lulus sebab 'kepentingan peribadi' Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus mengetepikan "kepentingan peribadinya" dan mempercepatkan kelulusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), kata Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, dia telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan projek itu yang terletak di dalam perbandaran Kedah Aerotropolis.

"Kalau ada pihak yang menahan itu ada kepentingan peribadi kena ketepikanlah.

"Kalau dia (Anwar) kata dia tak ada kepentingan peribadi. Dia kena lepaslah (luluskan) projek itu,” kata seperti dipetik Harakahdaily.

Bagaimanapun, Sanusi mengambil maklum Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini telah menetapkan kelulusan KXP hanya boleh dilakukan selepas Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) siap.

"Tapi sebelum NASP dijalankan, dia (Anwar) umum Airport Penang dan Airport Subang. Pasal apa? Pasal apa boleh pi umum sebelum NASP dilaksanakan? Boleh pula? Kan ini sebut dalam Belanjawan (2023) itu?

“Jadi saya kata ada benda yang tak betul ini.

"Pasal apa hat itu boleh dikecualikan daripada NASP, kan? Kenapa kita tidak," soal Sanusi.

Katanya, kerajaan Kedah telah menyerahkan butiran dan data berkaitan yang diperlukan untuk lapangan terbang itu kepada Kementerian Pengangkutan.

Sanusi seterusnya mendakwa Kedah "diketepikan", manakala Pulau Pinang dan Subang (di Selangor) diutamakan kerana "kepentingan politik" Anwar di dua negeri itu.

Pada bulan Mac, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan kerajaan menolak cadangan pembangunan KXP.

Menurutnya, kajian NASP berhubung projek itu masih belum dimuktamadkan.

Pada bulan yang sama, kerajaan negeri Kedah turut merayu Putrajaya membenarkannya melaksanakan kerja-kerja pengambilan tanah bagi membina cadangan kompleks terminal lapangan terbang itu.