Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

1MDB: Firma bekas penulis ucapan Najib terima lebih RM22 juta

Bekas penulis ucapan Najib Razak memberi keterangan bahawa dia menerima lebih RM22 juta daripada bekas perdana menteri itu, melalui 39 keping cek, dalam tempoh tiga tahun dari 2011 hingga 2014.

Pengasas Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd Mohd Omar Mustapha memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia menerima cek yang ditandatangani oleh Najib semasa pertemuan bersemuka mereka di pejabat menteri kewangan ketika itu antara Mac 2011 hingga April 2014.

Mohd Omar Mustapha

Semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan bernilai RM2.28 bilion hari ini terhadap Najib, saksi pendakwaan ke-45 Omar memberi keterangan bahawa syarikatnya telah dibayar jumlah tersebut untuk perkhidmatan menulis ucapan bahasa Inggeris dan kerja-kerja berkaitan media antarabangsa.

“Bagi tahun-tahun bermula Mac 2011 hingga April 2014 dalam tempoh tiga tahun, syarikat Semarak Konsortium Sdn Bhd terlibat dalam membekalkan pasukan media antarabangsa dan penulisan ucapan dalam bahasa Inggeris kepada Najib.

“Sepanjang tempoh itu, saya bagi pihak syarikat menerima bayaran daripada Najib sebanyak RM22,981,688 melalui 39 keping cek antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 untuk perkhidmatan yang diberikan,” kata Omar semasa pemeriksaan oleh timbalan pendakwa raya Najwa Bistamam.

Saksi itu berkata dia menawarkan perkhidmatan syarikat tersebut kepada Najib pada Mac 2011 dan diterima oleh perdana menteri ketika itu dan kedua-dua mereka juga  bersetuju bahawa tidak ada keperluan untuk kontrak bertulis berhubung perkara berkenaan.

“Saya juga percaya Najib mempunyai keyakinan terhadap saya kerana saya pernah menjadi ketua pegawai khasnya antara 2004 dan 2006 ketika dia memegang jawatan timbalan perdana menteri, dia tahu kemampuan saya,” kata Omar.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu mengulangi bahawa urus niaga antara syarikatnya dengan Najib tidak mencetuskan sebarang “red flag” daripada pihak berkuasa.

“Saya berjumpa perdana menteri di pejabatnya setiap bulan selama tiga tahun. Saya menerima cek bukan wang tunai dalam beg. Saya tunaikan cek dalam akaun korporat saya selama tiga tahun tanpa pengecualian atau soalan daripada bank dan tiada red flag langsung,” kata Omar kepada peguam Najib.

Semasa disoal lanjut Shafee, Omar mendedahkan bekas timbalan pendakwa raya mendiang Gopal Sri Ram juga diambil sebagai peguam oleh Semarak Konsortium Satu pada 2013 semasa kes mahkamah membabitkan beberapa pertikaian komersial.

Saksi itu berkata, Sri Ram menerima bayaran daripada akaun syarikat yang sama seperti yang digunakan untuk menerima wang daripada Najib.

Menurut Omar antara bayaran kepada Sri Ram termasuk yang berjumlah sebanyak RM75,000.

Di sebalik bantahan oleh pasukan pendakwaan, mahkamah membenarkan Shafee meneruskan soalannya terhadap Omar.

Mendiang Gopal Sri Ram

Sri Ram, bekas hakim mahkamah persekutuan yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB, meninggal dunia pada usia 79 tahun pada Januari tahun ini.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak membuat pembayaran hampir RM23 juta melalui 39 keping cek kepada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd kerana menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada bekas perdana menteri itu antara 2011 hingga 2014.

Pengarah syarikat itu, Datuk Mohd Omar Mustapha, 51, berkata pembayaran berjumlah RM22,981,688 diterimanya antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 kerana syarikat terbabit menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penyediaan teks ucapan dalam bahasa Inggeris untuk Najib sama ada di dalam atau di luar negara.

“Ia juga bagi menyelaras segala urusan dengan pihak media antarabangsa yang berpusat di Malaysia, menyelaras temu duga Najib sewaktu lawatan ke luar negara dengan media antarabangsa dan menyediakan deraf temu duga atau artikel oleh Najib dalam majalah atau surat khabar dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

Menurut saksi pendakwaan ke-45 itu, urusan perkhidmatan syarikat tersebut kepada Najib bermula selepas timbulnya isu perkhidmatan oleh APCO Worldwide kepada kerajaan Malaysia yang pada 2010 pihak kerajaan telah membayar RM76.8 juta setahun kepada APCO. 

“Pembayaran ini telah dibuat oleh pihak kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa (Perhubungan Awam) yang telah diberikan oleh APCO antara Julai 2009 hingga Jun 2010. Pembayaran ini telah menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen dan saya difahamkan kontrak antara APCO dan kerajaan selepas itu tidak disambung. 

“Ekoran daripada isu tersebut, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ dan telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif APCO di Malaysia pada masa itu, Paul Stadlen untuk bertanya sama ada beliau bersedia untuk keluar daripada APCO dan menyediakan perkhidmatan secara persendirian dan beliau bersetuju,” katanya.

Omar berkata APCO antara syarikat PR Antarabangsa terbesar di dunia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat dan mempunyai cawangan di lebih 30 buah negara termasuk Malaysia. 

Saksi itu seterusnya berkata, beliau juga telah berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya. 

Menurut Omar, dalam perbincangan itu, beliau telah menawarkan perkhidmatan tersebut dan pembayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakannya setiap bulan kepada Najib. 

“Pada masa itu, Najib telah bersetuju dengan cadangan perkhidmatan tersebut. Saya tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani untuk perkhidmatan ini dan beliau (Najib) juga tidak minta sebarang kontrak daripada saya. Urusan ini hanyalah melibatkan perjanjian lisan sahaja memandangkan isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan. 

“Saya percaya Najib boleh mempercayai saya dalam urusan ini kerana saya pernah bekerja sebagai pegawai khas utamanya ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2005,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata Najib merupakan satu-satunya pelanggan dalam syarikatnya dan setiap bulan beliau sendiri akan ke pejabat Najib untuk mendapatkan cek-cek itu.

“Saya berjumpanya (Najib) setiap bulan dan saya berikan invois termasuk kos operasi dan beliau akan membuat pembayaran. Saya menerima pembayaran selama tiga tahun daripadanya tanpa disoal oleh pihak bank atau sebarang amaran daripada bank,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, saksi itu berkata perkhidmatan yang diberikannya kepada Najib adalah bagi tujuan rasmi dan beliau tidak mengetahui sumber wang yang digunakan Najib untuk membayar syarikatnya.

Ahmad Akram: Adakah kamu tahu dari akaun mana Najib bayar kepada kamu?

Mohd Omar: Saya hanya menerima bayaran melalui cek...setahu saya, beliau menandatangani cek tersebut secara peribadi, di hadapan saya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi diteruskan dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan.