Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kedah jadi kubu baru PN atau sokongan beralih sekali lagi?

Perikatan Nasional (PN) menang besar di Kedah dalam PRU15 apabila meraih 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Ia membawa kepada tanggapan bahawa PN akan sekali lagi menang di negeri itu dalam PRN akan datang.

Namun, Kedah memiliki sejarah mengalami perubahan pentadbiran. Sejak 2008, pengundi Kedah memberi kemenangan kepada tiga kerajaan berbeza, iaitu Pakatan Rakyat, BN dan PH.

Kini, perhatian terarah kepada sama ada mereka akan sekali lagi memberi kemenangan kepada PN - yang mula mentadbir pada 2020 - atau mengulangi sejarah mengubah kerajaan melalui peti undi.

Namun, data PRU 2022 yang dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan beberapa petunjuk berkenaan takat sokongan PN mutakhir ini.

Dalam PRU itu, ada 14 kerusi DUN di Kedah di mana PN meraih lebih daripada 60 peratus undi - nilai ambang yang sering digunakan parti politik bagi menentukan kerusi tersebut sebagai "sangat selamat".

Ini bermakna hanya separuh daripada keseluruhan kerusi DUN di Kedah sebagai "sangat selamat" untuk PN, berbeza dengan Kelantan dengan lebih dua pertiga kerusi dalam kategori itu.

Malah, jumlah keseluruhan undi yang diraih PN di Kedah hanya 56 peratus, berbeza dengan Terengganu dan Kelantan di mana gabungan itu meraih hampir dua pertiga undi.

Dalam kata lain, dalam tiga negeri yang dikuasainya, PN memiliki takat sokongan paling lemah di Kedah.

Ini mungkin dapat menjelaskan mengapa Kedah menjadi tumpuan bagi projek baru kerajaan dan kunjungan menteri sejak enam bulan lalu.

Kerajaan persekutuan malah memutuskan untuk mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Alor Setar pada Mei lalu.

Menurut analisis Kini News Lab, perubahan undi sebanyak 14 peratus dan corak keluar mengundi yang sama dengan PRN Johor 2022 memadai untuk PH-BN merampas Kedah dengan majoriti mudah.

Esok, Malaysiakini akan menyiarkan analisis penuh berkenaan kemungkinan keputusan dalam PRN di Kedah dan lima negeri lain berdasarkan keputusan PRU15.

Esok: PRN: Sampai mana gelombang hijau?


Baca: Sanusi, aset atau liabiliti PN?