Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kera ditembak: Penduduk Batu Caves lapor polis terhadap JMB, Perhilitan

Sekumpulan penduduk pangsapuri Sunway Batu Caves telah membuat laporan polis terhadap badan pengurusan bersama (JMB) mereka dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan).

Ini berhubung tindakan yang mereka dakwa membunuh kera ekor panjang secara tidak beretika di kawasan itu.

Bekas pengerusi JMB Avatar Singh berkata dia menyaksikan pembunuhan kera ekor panjang itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat ketika berada di rumah pada Selasa lalu.

“Saya melihat seseorang mengambil senapang, dihalakan ke arah kera yang berada di atas bukit.

"Apabila mereka menembak kera itu, seekor daripada ibu kera telah terjatuh bersama anaknya yang masih berpaut kepadanya," kata Avatar kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Selayang hari ini.

Dia mendakwa tiga lelaki berpakaian biasa menembak kera itu dengan senapang di sebelah sebuah trak pikap yang tertera logo Perhilitan.

Dia berkata penduduk tidak dimaklumkan bahawa tembakan akan berlaku.

Avatar berkata penembakan itu dilakukan selepas badan pengurusan bersama pangsapuri (JMB) dilaporkan menerima aduan daripada penduduk mengenai kera telah merosakkan harta benda mereka.

JMB merupakan satu badan sementara yang dianggotai pihak pemaju dan pembeli atau pemilik strata dalam urusan penyelenggaraan hartanah.

Bagaimanapun, kata Avatar permintaannya untuk melihat aduan yang didokumenkan mengenai harta benda yang rosak itu tidak dilayan oleh badan pengurusan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata dia telah bersemuka dengan pegawai Perhilitan pada hari penembakan itu - yang dirakamkan dalam video.

‘Kira-kira 20 ekor kera’

Video itu, yang telah dikongsi secara meluas oleh kumpulan aktivis haiwan di media sosial, menunjukkan seorang lelaki bersemuka dengan seorang lelaki berpakaian preman - dipercayai daripada Perhilitan - kerana menembak mati kera itu.

Pegawai itu kemudian menjawab dia bertindak atas aduan daripada JMB.

Semasa pertengkaran hangat itu berlaku, beberapa kera - dipercayai sama ada cedera atau telah mati - dilihat dimuatkan ke atas trak pikap yang mempunyai logo Perhilitan.

Bercakap kepada media hari ini, saksi itu mendakwa terdapat kira-kira 20 ekor kera yang sama ada terperangkap di dalam perangkap sangkar atau telah dibunuh.

Katanya, dia telah membuat laporan polis pada hari kejadian itu sendiri.

Dia turut menegur Perhilitan kerana melepaskan tembakan di kawasan perumahan.

"Bagaimana jika peluru sesat mengenai salah seorang kanak-kanak atau orang dewasa. Adakah mereka akan meminta maaf?" katanya.

Kera ekor panjang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.

Walau bagaimanapun, akta ini membenarkan pegawai jabatan hidupan liar membunuh haiwan "dengan niat baik" jika hidupan liar itu membahayakan nyawa atau harta benda manusia, atau sebagai pembunuhan belas kasihan.

Malaysiakini telah menghubungi JMB pangsapuri Sunway Batu Caves serta Jabatan Hidupan Liar untuk mendapatkan ulasan.

Peguam untuk Animals Right Rajesh Nagarajan dan Sachpreet Singh hadir membantu penduduk membuat laporan polis hari ini.

[Baca berita asal]