Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isteri, anak Amri akan beri keterangan dalam saman ke atas polis, k’jaan

Isteri dan anak perempuan Amri Che Mat akan memberi keterangan di mahkamah sivil Rabu ini berhubung saman keluarga terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan lelaki itu pada 2016.

Peguam keluarga berkenaan, Larissa Ann-Louis ketika ditemui selepas prosiding mahkamah terbuka hari ini mengesahkan Norhayati Mohd Ariffin dan Amirah Amri adalah antara 13 saksi yang ditetapkan untuk memberi keterangan lisan semasa perbicaraan penuh tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Perbicaraan penuh tuntutan mahkamah itu pada mulanya ditetapkan bermula hari ini. Bagaimanapun, prosiding itu terpaksa ditangguhkan kerana isu teknikal berkaitan sistem IT badan kehakiman.

Semasa prosiding singkat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Jo, mahkamah dimaklumkan bahawa keluarga itu akan memanggil 13 saksi manakala defendan - kerajaan dan polis - akan memanggil lapan orang untuk memberi keterangan.

Pada 3 April 2019, inkuiri awam Suhakam membuat kesimpulan bahawa Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, adalah akibat “kehilangan secara paksa”.

Panel tiga anggota juga sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelaku adalah anggota Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Selang beberapa bulan kemudian pada tahun yang sama, Norhayati memfailkan writ saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Amri yang berlaku sekitar tengah malam pada 24 Nov 2016.

Kerajaan dan polis diwakili oleh peguam kanan persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin dalam saman itu.

Sebelum ini, pada 9 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Norhayati untuk mengakses laporan pasukan petugas khas sulit mengenai kehilangan Amri. 

Dia bercadang untuk menggunakan laporan berkenaan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengukuhkan tindakan samannya itu.

Bagaimanapun, kerajaan dan polis memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi menghalang isteri Amri daripada mendapat akses terhad laporan  tersebut.

Mahkamah juga membenarkan permohonan kerajaan dan polis untuk menangguhkan keputusan tersebut, sementara menunggu proses di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, keluarga Koh juga mempunyai tindakan mahkamah sivil yang berterusan terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan paksa paderi itu.

[Baca berita penuh]