PN tak perlu umum calon MB Selangor - Muhyiddin
Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak mengumumkan calon menteri besar mereka di Selangor menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata nama-nama calon menteri besar itu hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya.
"Yang penting kita tak perlu umumkan.
"Pada prinsipnya, dalam senarai yang kita (ada) sudah kenal pasti ramai tokoh-tokoh dan sampai masa sesuai... tahu siapalah menteri besarnya," katanya dalam sidang medianya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali akan dilantik menjadi menteri besar Selangor jika gabungan itu menang di negeri itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Azmin belum diumumkan untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRN akan datang.
"Dia belum umum tanding ke tak tanding," katanya.
Febuari lalu, PN Selangor dilaporkan berkata mereka tidak menolak kemungkinan mencalonkan Azmin sebagai menteri besar sekiranya berjaya memenangi PRN di Selangor nanti.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN Selangor Zulkafperi Hanafi berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas ahli parlimen Gombak itu untuk diangkat sekali lagi menjadi menteri besar.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata segala ketetapan terletak kepada kebijaksanaan pemimpin PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting berkenaan.
Walaupun tewas di kerusi parlimen Gombak dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu, Azmin masih merupakan Adun Bukit Antarabangsa.
Dia pernah menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan PH antara Sept 2014 sehingga 19 Jun 2018. Dia yang pernah menjadi timbalan presiden PKR kemudian melepaskan jawatan tersebut untuk menyertai kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Azmin kemudian mengetuai sekumpulan ahli parlimen PKR untuk berpaling tadah meninggalkan PH dalam ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan jatuhnya kerajaan PH.
Dia kemudian dilantik menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai