Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penunggang motor lawan arus di Lebuh Raya SUKE dikenal pasti

Polis telah mengenal pasti individu yang menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu lepas yang menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki tempatan berumur 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga makanan itu telah tampil membuat laporan polis mengenai kemalangan berkenaan di Balai Trafik Kajang, semalam.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

“Akibat kemalangan, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata suspek bertindak pulang ke rumah selepas insiden itu dan hanya mengetahui kes (kemalangan maut) berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan menerusi media sosial.

Mohd Azam berkata untuk tujuan siasatan, pihak polis telah merampas motosikal jenis Yamaha miliknya dan beberapa barangan lain serta merakam percakapan suspek serta lima individu lain.

“Bagaimanapun suspek tidak ditahan kerana masih lemah akibat kecederaannya,” katanya.

Mohd Azam berkata kedua-dua motosikal terlibat dalam kemalangan berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

- Bernama