Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PANDUANKINI | Kertas Putih Kesihatan dan kesannya kepada rakyat

PANDUANKINI | Kertas Putih Kesihatan akhirnya dibentangkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Kertas Putih itu mengandungi pelan hala tuju menyeluruh untuk mereformasikan sistem kesihatan awam untuk 15 tahun akan datang, dengan tumpuan kepada empat perkara utama.

Empat perkara itu adalah untuk transformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, mempertingkat promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama dan memperkukuh landasan dan tadbir urus sistem kesihatan.

Apakah makna reformasi ini kepada orang awam yang ingin mendapatkan perkhidmatan?

Malaysiakini bercakap dengan penyelidik kesihatan awam Mark Cheong untuk melihat bagaimana reformasi yang dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan akan memberi kesan kepada orang ramai.

Apa tujuan Kertas Putih Kesihatan?

Cabaran yang dihadapi perkhidmatan kesihatan awam Malaysia telah meningkat saban tahun, terutama selepas pandemik Covid-19 yang menjadikan kelemahan dalam sistem semakin parah.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) juga menunjukkan sejak 2011 ada peningkatan penyakit kronik di kalangan masyarakat, yang turut disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat.

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, yang memulakan inisiatif untuk Kertas Putih ini, berkata ia untuk menunjukkan komitmen kerajaan agar sistem kesihatan negara dapat mendepani cabaran masa depan.

Katanya, sistem kesihatan tidak banyak berubah sejak 65 tahun lalu, iaitu untuk mengubati penyakit, dan respons kepada penyakit.

Dia berkata sistem kesihatan negara perlu beralih daripada penjagaan pesakit, atau sick care, kepada tumpuan kepada penjagaan kesihatan.

Untuk itu, bukan saja dasar sistem yang perlu diubah tetapi peruntukan dan pengurusan sumber juga perlu disemak semula.

Apa perubahan paling utama?

Cheong percaya tiga perubahan utama akan memberi kesan kepada orang ramai. Perubahan pertama adalah peranan Kementerian Kesihatan pada masa akan datang.

Kementerian Kesihatan berhasrat untuk memberi tumpuan kepada peranan dalam pentadbiran, tadbir urus, pemantauan melalui undang-undang, penetapan standard dan perangkaan dasar sistem kesihatan.

Peranan kementerian pada masa ini iaitu menyediakan dan membeli perkhidmatan kesihatan akan dipisahkan secara berperingkat.

Menurut Kertas Putih itu, kemudahan kesihatan dan perubatan kerajaan akan diberi lebih autonomi untuk menjalankan tugas mereka sebagai penyedia penjagaan kesihatan.

"Pemisahan fungsi penyedia dan pembeli perkhidmatan kesihatan di KKM akan mewujudkan pengawalan yang lebih telus serta semak dan imbang yang lebih baik," menurutnya.

Kedua, Kertas Putih memberi penekanan kepada penyampaian penjagaan kesihatan di tahap primer, iaitu "pendekatan yang bersifat keseluruhan masyarakat bertujuan untuk memastikan tahap kesihatan dan kesejahteraan yang terbaik".

Menerusi model baru ini, setiap individu akan didaftarkan dengan penyedia primary healthcare (PHC) berdekatan pilihan mereka.

PHC akan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan akses kepada perkhidmatan yang mempromosikan kesihatan dan pencegahan penyakit, pemulihan dan penjagaan paliatif.

PHC juga antara lain akan memberi rujukan kepada individu untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital dan penjagaan di rumah dengan bantuan PHC masing-masing.

Satu lagi cadangan perubahan dalam Kertas Putih yang mendapat banyak perhatian adalah tentang bagaimana perkhidmatan kesihatan perlu didanai.

"Pada asasnya, Kertas Putih Kesihatan mencadangkan perkhidmatan kesihatan akan didanai menerusi kombinasi dana kerajaan, sumbangan daripada individu menerusi majikan dan skim potongan yang progresif serta bayaran daripada pengguna," kata Cheong.

Kementerian berhasrat menubuhkan dana kesihatan khusus menerusi dana kerajaan yang akan menanggung jenis-jenis rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang telah ditetapkan, untuk setiap individu.

"Sementara sebahagian besar kos pakej penjagaan kesihatan ini akan dibayar dana khusus, setiap individu dijangka untuk membayar sebahagiannya," kata Cheong lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan yang Kertas Putih akan mencadangkan supaya bayaran perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dinaikkan untuk golongan kaya.

Langkah itu bertujuan menjadikan isi rumah berpendapatan tinggi membayar perkhidmatan itu mengikut kemampuan kewangan mereka.

Walaupun bayaran minimum yang dikenakan telah memberi kemampuan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik, struktur sedia ada telah membawa kepada jurang besar berbanding kos yang ditanggung, menurut KKM.

Namun kementerian itu memberi jaminan bahawa jaringan keselamatan (safety net) isi rumah berpendapatan rendah akan dikekalkan.

Bagaimana pemisahan peranan ini memberi kesan kepada orang ramai?

Ia berpotensi untuk membawa kepada pengurusan sumber yang lebih berkesan, pembangunan perkhidmatan kesihatan berdasarkan masyarakat setempat dan sistem yang lebih anjal dalma berdepan keperluan kesihatan yang berubah.

Dengan itu, kemudahan kesihatan awam yang memiliki autonomi lebih besar akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih bermutu tinggi kepada pesakit.

Namun, Cheong berkata semua ini bergantung kepada jenis dan takat autonomi yang akan diberikan kepada kemudahan kesihatan awam.

Hospital Klang ketika kemuncak penularan wabak Covid-19

"Langkah menghentikan sokongan dan koordinasi pusat kepada kemudahan kesihatan boleh memberi kesan negatif kepada kemudahan yang lebih kecil, dan mencetuskan persaingan sumber yang tidak sihat antara kemudahan kesihatan, yang akan menjejaskan khidmat kepada komuniti yang terkesan," katanya.

Dia juga mengingatkan yang jika autonomi itu bermaksud kemudahan kesihatan perlu menjana hasil yang cukup untuk terus beroperasi, ia boleh menyebabkan perkhidmatan yang tidak menguntungkan atau pengabaian terhadap golongan berpendapatan rendah.

Bagaimana dengan model PHC baru?

Tumpuan untuk menyediakan penjagaan primer akan memudahkan rakyat untuk menerima pelbagai jenis terapi dan penjagaan kesihatan yang diperlukan mereka, kata Cheong.

Ia juga mungkin dapat menjimatkan masa orang ramai untuk ke hospital serta memendekkan tempoh mereka di wad hospital.

Kata Cheong lagi, cadangan untuk melaksanakan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Rekod Kesihatan Sepanjang Hayat (ELHR) secara meluas, serta kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan swasta, akan memudahkan koordinasi penjagaan terhadap individu dengan keperluan kesihatan yang kompleks.

Adakah kita perlu bayar lebih?

Cheong berpandangan kebanyakan rakyat Malaysia akan perlu membayar lebih tinggi berbanding caj RM1 dan RM5 pada masa ini di kemudahan kesihatan awam, namun bayaran itu bergantung kepada pendapatan mereka.

"Kerajaan perlu bekerja keras untuk menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan agar rakyat rasa mereka mendapat nilai daripada bayaran yang meningkat, dan untuk meyakinkan rakyat yang peningkatan itu akan digunakan untuk menyediakan khidmat kepada kalangan berpendapatan rendah," katanya.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan perlu membayar RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rawatan pakar bagi pesakit luar.

Menurut laman web KKM, rakyat Malaysia yang menerima rawatan di wad kelas pertama dikenakan bayaran RM10 sehari, manakala wad kelas dua RM5 sehari. Tiada caj dikenakan kepada mereka yang dimasukkan ke wad kelas tiga.