Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hamzah: Rumah 'diserbu' LHDN itu bagaimana maksudnya?

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menafikan kediamannya di Damansara, Kuala Lumpur ‘diserbu’ pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Selasa lalu.

“Serbu itu bagaimana maksudnya. Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya, saya tak mahu menjawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.

“Hari ini, saya dah ada maklumat contoh fitnah yang dibuat terhadap saya dulu saya dah bawa polis report.

"Tapi tak apalah kita pegang dulu sampai masa kita akan gunakan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Hamzah yang juga setiausaha agung PN berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu di Binjai Rendah, Marang malam tadi.

Pegawai LHDN dilaporkan telah menyerbu kediaman ahli parlimen Larut itu pada pagi 14 Jun lalu.

Laporan The Star menyebut serbuan dibuat ekoran "dakwaan cukai pendapatan yang tak dilaporkan".

Menurut The Star, sumber mendakwa yang Hamzah berada di rumah ketika serbuan dan fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan aset telah dirampas.

Sumber yang dekat dengan Hamzah dipetik berkata ia merupakan "tindakan bermotifkan politik oleh pihak berkuasa" memandangkan pemimpin Bersatu itu sentiasa merekodkan cukainya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penggeledahan LHDN ke rumah setiausaha Bersatu itu merupakan urusan agensi yang berkenaan.

Anwar menjelaskan dia tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada LHDN dan badan penyiasat untuk melakukan tindakan selanjutnya.