Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ranking isu pemerdagangan manusia beri kesan pada ekonomi

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata kedudukan Malaysia dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang edisi 2023 akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Secara khusus, Saifuddin merujuk kepada sektor perladangan dan perkilangan Malaysia yang menyaksikan beberapa syarikat utama ditempatkan dan kemudiannya dikeluarkan daripada senarai sekatan import Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS atas kebimbangan isu buruh paksa dalam rantaian bekalan.

"Suka atau tidak ini sistem di mana kita tinggal. Ada pihak yang menilai. Kesan daripada turunnya ranking kita akan beri kesan ekonomi jangka panjang," katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Syarikat itu termasuk Sime Darby Plantations dan Felda Global Ventures dalam sektor perladangan selain Top Glove, salah satu pengeksport sarung tangan getah terbesar.

Laporan yang baru dikeluarkan itu kini meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2, iaitu negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS untuk memerangi pemerdagangan manusia tetapi sedang melakukan usaha yang ketara.

Ini adalah peningkatan daripada berada dalam kategori Tahap 3 terendah pada 2021 dan 2022, satu kemajuan yang dikatakan Saifuddin akan memberi kesan positif dari segi melonggarkan sekatan ke atas eksport Malaysia ke AS.

"Itulah kepentingan laporan kepada ekonomi Malaysia. Sama ada produk kita boleh dipasarkan atau tidak," katanya.

Negara dalam Tahap 3 juga mungkin menghadapi sekatan bantuan daripada AS.

Menurut laporan itu, kerajaan tidak memenuhi piawaian minimum dengan gagal mendakwa secara jenayah penyeludup buruh dalam industri pembuatan minyak sawit dan sarung tangan pakai buang.

Pada masa sama, Saifuddin turut menyatakan cadangan khusus bagi menangani dakwaan penglibatan penjawat awam dalam kes pemerdagangan manusia.

“Sekiranya ada penjawat awam yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, perkara ini mesti kita fokuskan,” katanya.

Dia berkata setakat ini tiada sabitan berkaitan terhadap penjawat awam tetapi laporan itu telah menyatakan kemungkinan peranan penguatkuasa undang-undang untuk memudahkan penyeludup manusia.

Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan unsur rasuah dalam perkhidmatan awam yang dikaitkan dengan kes pemerdagangan manusia.

Malaysia mempunyai satu tahun, iaitu sehingga 31 Mac tahun depan untuk melaksanakan 15 syor yang dibuat dalam laporan berkenaan.