Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Etika pakaian jururawat sudah banyak ditambah baik - Sheikh Umar

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata tidak adil untuk menyifatkan pakaian jururawat di negara ini sebagai “mengikut acuan barat”.

Sheikh Umar yang merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah banyak memperkenalkan perubahan dari segi pemakaian jururawat.

“Berbanding 20 tahun lalu, terdapat banyak penambahbaikan dari segi etika pemakaian uniform jururawat di Malaysia.

“Contohnya pada ketika ini, boleh dikatakan keseluruhan jururawat KKM tidak lagi memakai skirt tetapi berseluar panjang dan dibenarkan mengenakan tudung kepala.

“Bahkan dalam Operation Theatre sendiri, jururawat sudah dibenarkan mengenakan tudung berbanding hanya 'OT cap' sahaja pada satu ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Naib Pengerusi DAP Johor yang juga merupakan suami kepada seorang jururawat berkata penambahbaikan ini pastinya dibuat atas kesedaran beragama di samping norma ketimuran.

Semalam Razali mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya terlalu ketat dan tidak mematuhi syariah.

Wan Razali Wan Nor

Berucap semasa membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, Razali berkata ramai jururawat wanita berpakaian menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Dia memberi contoh seperti Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan di Pahang yang membenarkan pakaian "lebih sesuai".

Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor turut menyuarakan sokongan terhadap pandangan Razali semasa perbahasan tersebut.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata pakaian seragam sektor awam ada pelbagai, sepertimana pakaian orang awam.

Justeru, dia mengingatkan agar tidak berlebihan melabel dan menghukum.

“Jika mata YB Kuantan mudah sangat menghukum penampilan jururawat kita, mungkin YB boleh cadangkan orang lelaki sahaja kerja sebagai jururawat selepas ini,” katanya.