Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Syarikat judi beri amaran ketagihan makin parah jika kedai mereka ditutup

Syarikat judi Da Ma Cai memberi amaran risiko ketagihan judi makin parah selain pertambahan lebih banyak isu sosial jika kedai mereka ditutup.

“Jika kami tidak boleh beroperasi, orang ramai akan beralih kepada sindiket nombor ramalan atau platform haram judi atas talian, yang boleh diakses 24 jam, justeru boleh meningkatkan risiko ketagihan dan lebih banyak isu-isu sosial,” katanya.

Da Ma Cai berkata demikian ketika menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel hari ini berkaitan kesan tindakan kerajaan Perlis yang mahu menuntut kedai judi pada tahun depan.

Tarikh akhir lesen operasi mereka di Perlis pada 6 Mar 2024.

Exco perumahan dan kerajaan tempatan Perlis Fakhrul Anwar Ismail semalam dilaporkan berkata operasi enam premis perjudian di Perlis tidak akan disambung selepas tamat tempoh pada Mac 2024.

Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian Perikatan Nasional (PN), parti pemerintah Perlis, dan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli untuk menghentikan aktiviti perjudian.

Fakhrul Anwar juga berkata langkah itu bukan mengejutkan atau perkara baru, memandangkan sudah lama dilaksana di negeri-negeri lain PN, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Da Ma Cai mempunyai satu kedai nombor ekor di Perlis di samping syarikat judi Sports Toto dan Magnum. 

Sementara itu, Da Ma Cai berkata penutupan kedai judi di Perlis juga akan mengurangkan RM2,544 daripada hasil kutipan lesen.

Ia juga, kata syarikat itu, menyebabkan kerugian kepada kerajaan pusat daripada aspek kutipan cukai.

“Penutupan kedai juga menyebabkan pekerja hilang kerja dalam industri ini, menjejaskan kehidupan dan menyebabkan kemerosotan ekonomi di kawasan berkaitan,” katanya.

Sports Toto dan Da Ma Cai memohon untuk bertemu dengan pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi membincangkan isu itu.