Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saifuddin: Serbuan LHDN di rumah Hamzah langkah politik terdesak

Serbuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kediaman Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, malam semalam adalah tindakan terdesak kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, turut menganggap langkah tersebut hanyalah strategi politik murahan bagi memburukkan pimpinan kanan dalam parti itu.

"Ketika dia (pemimpin kerajaan) tak berkesan sebagai kerajaan, dia harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam Bersatu dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.

"Saya menganggap ia helah politik murahan ketika PH-BN terdesak untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri," katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berita mengenai serbuan pegawai LHDN terhadap rumah bekas menteri dalam negeri kerajaan PN semalam.

Kediaman itu terletak di Damansara, Kuala Lumpur semalam.

Hamzah Zainudin

Media melaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan malam semalam itu, beberapa dokumen turut dirampas.

"Saya sendiri menghubungi Datuk Hamzah semalam bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang berlaku.

"(Menurut Hamzah) Yang dikatakan nak disiasat itu ialah perkara yang sama sebelum ini kononnya telah disiasat.

"Apa niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa dia keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betulkah dari LHDN atau dari pejabat orang lain?" katanya.

Nama dikaitkan kes rasuah

Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota mendakwa dia mendapat tahu maklumat mengenai serbuan tersebut bukan datang dari sumber LHDN sebaliknya pihak lain.

Media semalam melaporkan rumah ketua pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

Pada Feb lalu ahli parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.

Dia kemudian menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.

Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta suapan RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

Pendakwa raya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sim juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada kementerian sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan itu.