Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seragam jururawat praktikal, tumpuan patut pada isu kesihatan - MMA

Pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan ketika ini adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan semasa menjalankan tugas, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Membidas pihak-pihak  yang mendakwa jururawat wanita di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan, Presiden MMA, Dr Muruga Rajathurai kesal kerana pakaian seragam jururawat yang menjadi perhatian dan bukannya isu penjagaan kesihatan.

Dr Muruga Rajathurai

“Adalah menyedihkan apabila di tengah-tengah kebimbangan seluruh negara terhadap masa depan dan kemapanan sistem penjagaan kesihatan kita, seorang ahli parlimen lebih mengambil berat tentang kod pakaian jururawat.

“Semua jururawat di sektor awam mematuhi etika berpakaian penjawat awam.

“Kami percaya pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan sekarang adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan semasa  jururawat menjalankan tugas mereka.

"Dalam penjagaan kesihatan, semua orang perlu cepat bergerak dan ada kalanya, mesti bersedia untuk memecut demi menyelamatkan nyawa," kata Muruga dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas kenyataan ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor dari Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya terlalu ketat dan tidak mematuhi syariah.

Wan Razali Wan Nor

Berucap semasa membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, semalam, katanya, ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan.

Dakwaannya itu turut disokong oleh seorang lagi ahli Parlimen PN, iaitu Salamiah Mohd Nor yang mewakili Temerloh.

[Baca berita penuh]