Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suhakam terus dibidas kerana ‘diam’

Suhakam berterusan menjadi bidasan kerana dianggap "diam" di sebalik badan pemerhati hak asasai manusia itu memberi jaminan akan terus bersungguh-sungguh dan terlibat secara aktif dalam perjuangannya.

Pada sidang akhbar, hari ini, pengarah eksekutif pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, Sevan Doraisamy mempersoalkan mengapa badan pemantau itu perlu bekerja secara diam, sedangkan ia harus lebih proaktif dalam penglibatannya dengan orang ramai.

“Kamu adalah pengawas hak asasi manusia. Kamu erlu proaktif, untuk melibatkan diri dengan masyarakat sivil.

“Kamu perlu mendesak kerajaan yang berjanji untuk melindungi isu hak asasi manusia… itu tanggungjawab Suhakam,” kata Sevan di ibu pejabat Suaram di Petaling Jaya hari ini.

Dia mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad yang menyangkal dakwaan bahawa suruhanjaya itu tidak menunaikan tanggung jawabnya.

Rahmat mengakui bahawa aktiviti suruhanjaya itu pada masa ini mungkin tidak mendapat perhatian seperti sebelum ini tetapi memberi jaminan akan terus bersungguh-sungguh dan terlibat secara aktif dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Dia berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang semasa perbahasan Laporan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, berkata Suhakam hari ini kelihatan “lebih diam” berbanding dengan Suhakam yang lepas.

Turut hadir pada sidang media hari ini adalah Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan yang menambah pelantikan pesuruhjaya Suhakam baru-baru ini mengundang kontroversi.

Ini katanya, terutama apabila ada di kalangan anggota itu tidak memenuhi kriteria pelantikan.

Dia percaya bahawa ini adalah antara punca mengapa penglibatan Suhakam dengan masyarakat sivil telah menurun dengan ketara dan  bersetuju dengan kenyataan Kok.

"Sebenarnya, apa yang dia katakan adalah benar. Ia sangat diam. Kita  hampir tidak lihat banyak kenyataan daripada Suhakam.

"Itu bukan cara yang sepatutnya oleh suruhanjaya hak asasi manusia," tambahnya.

[Baca berita penuh]