Kenaikan fi hsopital k'jaan tak dibuat terburu-buru, kata Zaliha
PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan tidak akan tergesa-gesa melaksanakan cadangan menaikkan bayaran bagi perkhidmatan di hospital atau klinik kerajaan seperti yang dibawa kertas putih.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sebarang kenaikan - jika dilakukan nanti - akan dibincangkan dengan teliti terlebih dulu dan melibatkan pemegang taruh.
"Sebarang perubahan struktur fi bukanlah sesuatu yang akan dijalankan dengan segera dan sewenang-wenangnya.
"Ia akan diteliti secara rapi dan telus, dengan analisis wajar serta libat urus semua pihak berkepentingan.
"Paling penting ialah kerajaan mahu memastikan rakyat - terutama golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan - tidak akan terkesan, serta akses kepada perkhidmatan kesihatan akan terus dapat dinikmati," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai kertas putih yang sebelumnya dibahaskan 28 ahli parlimen selama hampir empat jam.
Ahli parlimen Sijangkang itu juga mengulangi penegasan bahawa kemudahan penjagaan kesihatan awam pada masa ini mengenakan bayaran yang minimum berikutan sektor itu diberi subsidi yang sangat besar oleh kerajaan.
Pada masa sama dia menjelaskan memang ada pesakit yang sanggup mengeluarkan bayaran lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan sekarang.
Bagaimanapun kata Zaliha KKM tiada mekanisme yang diperlukan bagi mengutipnya.
"Fi yang sama dikenakan kepada semua pesakit tanpa mengira kesanggupan mereka untuk membayar.
"Malahan KKM juga tidak ada mekanisme untuk mengumpul lebihan fi walaupun ada pesakit yang sanggup dan mahu membayar lebih kerana mereka menghargai perkhidmatan komprehensif yang diterima," katanya.
Cadangan kenaikan bayaran itu disenaraikan sebagai tonggak ketiga kertas putih yang memberi tumpuan kepada pembiayaan yang mampan dan adil untuk sektor penjagaan kesihatan.
Terdahulu semasa perbahasan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan tersebut dengan alasan ketika ini banyak isi rumah jatuh ke dalam kategori berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga mendakwa kerajaan telah memulakan cadangan itu sebagai satu cara untuk meningkatkan pendapatannya apabila berhadapan dengan keadaan fiskal yang dikatakan kritikal.
Bagaimanapun, Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) memuji cadangan kerajaan itu sambil menegaskan bayaran RM1 sekarang hanya relevan apabila "nasi lemak masih berharga 10 sen".
Pada masa ini, rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan hanya perlu membayar RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rawatan pesakit luar pakar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai