Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suhakam: Kami kerja di belakang tabir walaupun 'diam'

Suhakam mengakui aktiviti suruhanjaya itu pada masa ini mungkin tidak mendapat perhatian seperti sebelum ini tetapi memberi jaminan akan terus bersungguh-sungguh dan terlibat secara aktif dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

“Kami telah melakukan banyak kerja di lapangan dan mengatakan kami tidak melakukan apa-apa di barisan hadapan, sebagai pemerhati hak asasi manusia di Malaysia, adalah tidak benar.

“Kami masih boleh bekerja seperti pesuruhjaya terdahulu… Kami masih terlibat dalam isu berkaitan pelarian atau kanak-kanak. Ia adalah sebahagian daripada tugas kami,” kata pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad kepada Malaysiakini semalam.

Dia menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyebut bahawa pesuruhjaya Suhakam sekarang kelihatan "lebih diam" berbanding pesuruhajaya Suhakam yang lalu.

Teresa berkata demikian ketika berbahas mengenai Laporan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Ahli parlimen DAP berkata suruhanjaya itu lebih proaktif pada masa lalu dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

Ini termasuk menjadi pemantau dalam perhimpunan Bersih, mengadakan pendengaran terbuka terhadap mangsa yang mengadu tentang penyalahgunaan kuasa pegawai penguatkuasa dan sebagainya.

“Tetapi pada hari ini, kami jarang baca kenyataan dan aktiviti Suhakam, dan kebanyakan kita tidak mengenali pesuruhjaya Suhakam,” katanya.

Dalam responsnya, Rahmat berkata suruhanjaya itu tidak terganggu dengan komen Teresa tetapi menghargai pemerhatian ahli parlimen itu terhadap tugasnya.

“Kami menerima kritikan itu… Saya percaya kami perlu menjadi pengantara.

“Pengantaraan adalah sangat penting, terutamanya dengan agensi kerajaan (kerana) mereka perlu memahami peranan kami dengan jelas dan apa yang kami lakukan sebagai pemerhati hak asasi manusia.

"Apa yang penting (ialah) pada akhirnya, hak asasi manusia perlu dipertahankan dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mereka (kerajaan) mesti memastikan ia dikuatkuasakan," tambah Rahmat.

Akta Suhakam dimuktamadkan

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh berkata pindaan Akta Suhakam 1999 sudah pun dimuktamadkan.

Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian sedang bekerjasama rapat dengan Suhakam bagi memastikan ia akan diperkukuh dan diperkasakan sebagai institusi menegakkan hak asasi manusia di Malaysia, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan yang dicadangkan termasuk perkara berkaitan prosedur pelantikan dan pemecatan pesuruhjaya, serta memperkasakan peranan Suhakam di mahkamah," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Selain itu, Ramkarpal berkata kerajaan telah mempertimbangkan untuk menjadikan pelantikan ahli Suhakam melalui Jawatankuasa Pemilihan tersedia kepada orang ramai.

Katanya, ini bagi memastikan ketelusan dalam proses pemilihan.

Ramkarpal juga mendedahkan bahawa dari 2015 hingga 2020, sebanyak 5,440 aduan telah diterima oleh Suhakam.

Dia berkata sebanyak 58 peratus daripada aduan ini berjaya diselesaikan, manakala 42 peratus masih dalam siasatan.

Tambah Ramkarpal, majoriti kes yang belum selesai melibatkan aduan berkaitan isu kewarganegaraan di Sabah.