Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Timbalan speaker saran pinda perlembagaan bagi tangani kebajikan Orang Asli

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor hari ini berkata terdapat "kelompongan undang-undang" di bawah Akta Orang Asli 1954 yang harus ditangani melalui pindaan perlembagaan.

Ramli yang merupakan Orang Asli pertama yang dipilih sebagai ahli parlimen dan dilantik timbalan speaker, berkata perkara itu berkaitan peruntukan di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun kerajaan persekutuan mewartakan tanah untuk Orang Asli dengan kerjasama kerajaan negeri, pada bila-bila masa kerajaan negeri boleh tarik tanah itu.

"Apa yang saya nak sarankan dengan kestabilan politik yang ada, saya mohon menteri pembangunan luar bandar bincang dengan menteri undang-undang untuk pinda perlembagaan agar tanggungjawab menjaga Orang Asli ini jadi tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan pusat," katanya semasa mempengerusikan sesi maklum balas timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Rubiah Wang terhadap perbahasan mengenai Laporan tahunan Suhakam 2020.

Kata Ramli, ketika ini, Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kebajikan Orang Asli sebagai sebahagian daripada urusan persekutuan, manakala tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Oleh itu, katanya, meminda perlembagaan untuk memasukkan kebajikan Orang Asli ke dalam senarai kuasa negeri dan persekutuan akan menjadi penyelesaian kepada isu komuniti itu.

"Saya sebagai wakil rakyat yang duduk sebagai timbalan speaker yang tak ada ruang bercakap di sana (dari lantai ahli parlimen) memohon jasa baik pertimbangkan yang itu," tambah ahli parlimen Cameron Highlands itu.

Ramli juga memohon untuk melihat draf akhir rang undang-undang bagi cadangan pindaan Akta Orang Asli.

“Saya dan kaum saya berterima kasih,” katanya.

Sebagai respons, Rubiah berkata dia mengambil maklum permintaan Ramli, dan juga kekangan sedia ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.