Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes cukai Najib: B40 bertambah teruk jika peruntukan cukai dibatal, kata hakim

Seorang hakim menyatakan bahawa keadaan B40 (golongan isi rumah berpendapatan rendah dengan kurang daripada RM4,850 sebulan) akan bertambah teruk jika Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk membatalkan peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

P Nallini, yang merupakan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini, mendengar rayuan bekas perdana menteri itu untuk membatalkan ringkasan penghakiman berhubung cukai RM1.69 bilion terhadapnya, dengan membuat kenyataan itu sewaktu mendapatkan penjelasan daripada peguam utamanya, Muhammad Shafee Abdullah.

Isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan itu ialah sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 106, secara amnya, memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memulakan tindakan sivil di mahkamah bagi mendapatkan semula tunggakan cukai dan penalti daripada pembayar cukai.

Seksyen 106(3) secara khusus menyatakan bahawa berhubung dengan tindakan sivil LHDN untuk mendapatkan semula cukai, mahkamah “tidaklah boleh melayan apa-apa rayuan bahawa amaun cukai yang dicari untuk didapatkan kembali adalah berlebihan, ditaksir dengan tidak betul, di bawah rayuan atau dinaikkan dengan tidak betul."

Perkara 121 adalah berhubung dengan kuasa badan kehakiman di Malaysia.

Dalam mendapatkan penjelasan daripada Shafee berhubung hujahnya bahawa Seksyen 106(3) adalah tidak sah, Nallini berkata agak sukar untuk mahkamah mengubahnya tanpa sebab yang kukuh dan munasabah (the courts are slow to disturb the validity) peruntukan tersebut kerana ia penting untuk negara berupaya memungut cukai, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengagihkan semula kekayaan di kalangan rakyat.

Dia berkata walaupun kes Najib mungkin agak keterlaluan dengan dakwaan tunggakan cukai melebihi RM1 bilion, negara masih perlu mengutip cukai dan keupayaan kerajaan untuk mengutip cukai mungkin terjejas jika setiap pembayar cukai dibenarkan membentangkan pernyataan pembelaan mereka semasa saman cukai terhadap mereka di mahkamah sivil, yang boleh menyebabkan kelewatan dalam kutipan cukai.

“Jika setiap pembayar cukai boleh datang ke mahkamah dan menjalani perbicaraan penuh (terhadap saman cukai LHDN dan tanpa ringkasan penghakiman dibenarkan) terhadap jumlah yang ditaksirkan, negara tidak bergerak. B40 akan bertambah teruk kerana tidak akan ada wang (dalam tabung kerajaan)," kata Nallini.

Ketika Shafee membalas bahawa Seksyen 106(3) melanggar hak perbicaraan adil dalam saman cukai, Nallini berkata pembayar cukai mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), yang layak mendengar aduan mengenai sebarang jumlah cukai yang ditaksirkan secara tidak tepat.

Hakim berkata bahawa Najib serta semua pembayar cukai, dibenarkan LHDN untuk membayar cukai mereka secara ansuran sementara menunggu keputusan rayuan taksiran cukai mereka dengan SCIT.

Dia menambah sekiranya pembayar cukai tidak berpuas hati dengan keputusan SCIT, mereka sentiasa boleh merujuk kembali ke mahkamah sivil melalui semakan kehakiman untuk mencabar taksiran cukai pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, kenyataan Nallini hari ini bukanlah satu keputusan sebaliknya kenyataan dan pertanyaan yang dibangkitkan oleh panel Mahkamah Persekutuan untuk cuba membantu pasukan undang-undang Najib menumpukan pada bahagian tertentu dalam penghujahan mereka.

Sebagai menjawab pertanyaan Nallini, Shafee berkata pembayaran secara ansuran tidak boleh dilaksanakan kerana jumlah RM1.69 bilion adalah "besar", sambil menambah bahawa LHDN yang didakwa membuat cukai taksiran yang tidak betul menganggap Najib mempunyai pendapatan RM8 bilion, yang disifatkan Shafee sebagai " tidak masuk akal”.

Shafee kemudian menegaskan LHDN telah memfailkan notis bankrap terhadap Najib, yang mungkin mengakibatkan bekas perdana menteri itu muflis sebelum dia (Najib) boleh mengemukakan rayuan terhadap SCIT.

[Baca berita asal]