Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Charles gesa KDN susun semula sistem pengambilan pekerja

Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk menyusun semula sistem pengambilan tenaga kerja di Malaysia.

Merujuk pendedahan Malaysiakini berkenaan kegiatan ejen haram yang mengeksploitasi pekerja asing, Charles menyamakan sistem tersebut sebagai jual beli hamba zaman moden.

"Pekerja asing terperangkap oleh pihak ini yang memegang gaji dan pasport mereka - kedua-dua perkara ini melanggar undang-undang.

"Mereka ini, yang menyamar sebagai ejen pekerja, meyakinkan majikan untuk mengelak proses permohonan rasmi untuk mendapatkan pekerja asing.

"Sudah tiba masanya Saifuddin menyusun semula sistem pengambilan yang banyak kelemahan ini, jika tidak kita tidak akan dapat mendepani dakwaan amalan buruh paksa dan akan terus berada di Tier 3 dalam laporan Traficking in Persons (TIP)," kata anggota DAP itu.

Laporan TIP adalah ranking negara beradasarkan usaha membanteras pemerdagangan manusia dan dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Tier 3 adalah tahap terendah dan menandakan sesebuah negara itu tidak patuh sepenuhnya terhadap syarat bagi membasmi pemerdagangan manusia, atau tidak mengambil langkah besar untuk berbuat demikian.

Malaysia berada di tahap Tier 3 bagi tahun 2021 dan 2022.

Pada 3 Mei lalu, Saifuddin berkata keajaan telah menyuarakan komitmennya untuk memperbaiki kedudukan negara dalam laporan TIP.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan penyiasatan berkenaan sistem pengambilan pekerja di mana pekerja asing didagang secara terbuka dan ejen haram mengaut komisen berterusan daripada mereka yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.


'Ulat jual orang' - Perhambaan moden masih berleluasa

'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen


Malaysiakini mendapati ejen-ejen tersebut mengenakan bayaran kepada majikan dan mengambil komisen daripada gaji pekerja.

Skim itu menjadikan pekerja terperangkap oleh ejen haram yang mengutip gaji bagi pihak mereka dan memegang pasport mereka.

Amalan ini didapati dijalankan secara meluas dan tanpa hukuman, dengan ejen secara terbuka menelefon majikan yang terdesak dan berdepan masalah kekurangan pekerja.