Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen

EKSKLUSIF | Perubahan dalam dasar pengambilan pekerja asing telah mengakibatkan lebihan pekerja asing yang menganggur di negara ini.

Situasi berkenaan menggalakkan ejen haram cuba untuk 'menjual' pekerja yang diperdagangkan kepada agensi buruh berlesen, tanpa takut akan implikasi undang-undang, kata pihak industri.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia Zarina Ismail berkata dia antara ahli persatuan itu yang menerima banyak panggilan daripada ejen haram yang cuba menawarkan pekerja kepadanya atau sesiapa sahaja yang bersedia menerima mereka.

Cubaan pemasaran daripada ejen tidak berlesen atau 'ulat' ini dikatakan telah mencapai skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya menyasarkan jawatan dalam sektor perkhidmatan dan hospitaliti.

“Saya pernah didekati oleh ramai orang sebelum ini tetapi tidak pernah dalam skala ini.

"Mereka cuba memunggah ratusan pekerja, yang kebanyakannya telah diluluskan untuk sektor perkhidmatan dan hospitaliti," katanya.

Zarina menasihatkan majikan mengelak daripada terlibat dengan kontraktor pihak ketiga supaya tidak terjerumus ke dalam sindiket pemerdagangan manusia mereka.

Majikan perlu melaporkan tawaran sedemikian kepada polis untuk melindungi hak pekerja yang dieksploitasi, katanya lagi.

Hukuman berat menanti ejen haram

Penyumberan luar tenaga kerja telah diharamkan pada tahun 2018. Oleh itu, agensi pembekalan buruh tidak dibenarkan mengambil pekerja asing di bawah nama mereka dan mengerahkan pekerja untuk bekerja di tempat lain.

Pindaan terhadap Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 memperuntukkan majikan berdepan hukuman berat jika disabitkan melanggar peraturan pengambilan pekerja asing.

Mereka yang didapati bersalah melakukan penyumberan luar pekerja asing boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM200,000, atau kedua-duanya sekali.

Aktiviti sedemikian juga boleh dihukum di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom), dengan hukuman bagi pesalah mencapai penjara seumur hidup, bergantung kepada pertuduhan.

Mereka yang mendapat keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan juga boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun, denda RM500,000 hingga RM1 juta dan rampasan keuntungan yang diperoleh semasa melakukan kesalahan itu.

‘Lambakan’ pekerja asing di Malaysia

Perkembangan baru-baru ini mengenai ejen haram yang menghubungi majikan dan agensi berlesen disebabkan lebihan pekerja asing yang sangat banyak pada masa ini di Malaysia.

Bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Gopal Kishnam, menyatakan lebihan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berpunca kelonggaran syarat pengambilan pekerja oleh Kementerian Sumber Manusia dari Januari hingga Mac tahun ini.

Kumpulan pertama pekerja Bangladesh tiba pada Ogos 2022, selepas moratorium kemasukan pekerja asing ditarik balik.

Tindakan pentadbiran baru untuk segera menyelesaikan masalah bekalan buruh dalam sektor kritikal telah melibatkan "pemeriksaan sifar" dalam kelulusan permohonan pekerja asing telah memberi kesan sebaliknya, katanya.

Gopal mendakwa ia bukan sahaja menyebabkan penduduk tempatan diberhentikan untuk digantikan dengan buruh asing, tetapi turut mengakibatkan lebihan bekalan pekerja asing di Malaysia.


BACA BERKAITAN:

Bangladesh gesa k’jaan selesai isu pekerja ke M’sia tanpa pekerjaan


“Salah satu pemeriksaan penting yang perlu dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia ialah memenuhi kriteria kuota dan jika ini tidak dilakukan, sesiapa sahaja boleh memohon walaupun tidak mempunyai perniagaan yang memerlukan pekerja.

“Ini membuka pintu kepada pemerdagang manusia dan tiba-tiba, dalam tempoh kurang tiga bulan, kita mempunyai ribuan pekerja asing di Malaysia tanpa kerja.

“Pada masa sama, Malaysia memulakan program rekalibrasi untuk memudahkan pekerja asing tanpa dokumen di Malaysia mendapatkan dokumentasi yang diperlukan supaya dapat bekerja di negara ini secara sah,” kata Gopal, yang juga setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW).

Kelonggaran kuota pekerja asing itu berlaku antara 17 Jan hingga 14 Mac, dalam usaha memenuhi permintaan segera daripada majikan.

Di bawah polisi sementara itu, majikan tidak perlu memenuhi prasyarat untuk menerima kuota termasuk menjalani temu duga dengan agensi kawal selia.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kementerian meluluskan sejumlah 995,396 kuota pekerjaan untuk pelbagai sektor dalam tempoh itu.

Reformasi dasar buruh asing

Penggerak NGO hak migran Adrian Pereira menggesa lebih ketelusan dalam proses kelulusan kuota pekerja asing di Malaysia.

Dia percaya langkah ini dapat membantu menangani faktor yang menyumbang kepada pemerdagangan manusia dengan lebih segera.

"Penyalahgunaan berpunca daripada kawalan kuota dan siapa pihak yang meluluskan permohonan," kata Pereira, yang merupakan pengarah eksekutif North South Initiative.

Pekerja binaan asing di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, langkah jangka sederhana dan panjang diperlukan untuk menangani sistem lama pengambilan pekerja di Malaysia dan di negara asal bagi mengelak berkembangnya agensi pekerjaan haram di negara ini yang menggalakkan pemerdagangan manusia, katanya.

Dasar buruh asing perlu diperbaharui sebelum penambahbaikan cara pengurusan pekerja asing melalui sistem yang telah dilaksanakan di negara ini, katanya.

Dakwanya, kekebalan penjawat awam berprofil tinggi yang bekerja untuk majikan juga menyumbang kepada kelemahan yang memburukkan lagi pemerdagangan manusia di Malaysia.

Dia juga menggesa kerajaan supaya menunjukkan contoh yang baik dalam layanan terhadap pekerja asing yang bertugas di premisnya, atau diambil oleh agensinya melalui kontraktor.

“Agensi kerajaan dan separa kerajaan seperti Alam Flora dan kakitangan perkhidmatan sokongan hospital harus mempunyai amalan buruh yang boleh dicontohi untuk diikuti oleh sektor swasta,” katanya.

[Baca berita asal]


BAHAGIAN 1: 'Ulat jual orang' - Perhambaan moden masih berleluasa