Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PH, BN tak bermasalah di Kelantan jika sepakat - DAP

WAWANCARA | DAP Kelantan menyatakan keterbukaan mereka terhadap cadangan menggunakan satu logo iaitu lambang dacing BN bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) di situ.

Pengerusi DAP Kelantan Azaha Abd Rani berkata penggunaan satu logo itu adalah wajar memandangkan BN merupakan parti yang lebih dominan dalam gabungan PH-BN di Kelantan.

“Senario di Kelantan ini, pada pandangan saya, adalah wajar jika logo BN digunakan berdasarkan komposisi dan pengaruh parti-parti yang ada.

“Saya yakin penyokong DAP sendiri boleh terima dan faham dengan kerjasama yang terbentuk, justeru tak ada masalah jika calon PH termasuk DAP turut gunakan logo BN,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Azaha berkata kerjasama yang dibentuk melalui kerajaan perpaduan di peringkat pusat memberi ruang kepada parti-parti terbabit untuk sentiasa berlapang dada, saling menerima dan lebih terbuka.

Katanya, DAP Kelantan memang mendukung penuh persefahaman yang disepakati bagi memastikan PH dan BN dapat memberi persaingan sengit berdepan PAS dalam PRN akan datang.

“Matlamat kita dalam PRN sudah tentu untuk menewaskan PAS yang sudah 33 tahun menguasai Kelantan.

“Maka dalam keadaan sekarang, DAP sebagai komponen PH turut bersedia membantu dan bekerjasama rakan baru kita iaitu BN.

“Ini adalah sikap toleransi yang ditunjukkan atas penyatuan yang terbentuk di peringkat pucuk pimpinan dan perlu direalisasikan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Kelebihan di kawasan bandar

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana kesediaan DAP Kelantan bekerjasama dengan BN khususnya Umno dalam mendepani PRN nanti.

Kelantan dianggap sebagai kubu kuat PAS - sekali gus PN - untuk ditewaskan apabila PRN diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

PAS menguasai negeri itu sejak PRU kelapan (1990) dan kekal menjadi kerajaan sama ada ketika mereka bekerjasama dengan parti lain atau bergerak bersendirian.

Dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 2018, PAS memenangi 37 daripada 45 kerusi yang ada di Kelantan. Sebelum itu dalam PRU ke-13 (2013) PAS memenangi 38 kerusi manakala BN enam dan satu PKR.

Menyentuh mengenai sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH dan BN di negeri itu, Azaha berkata DAP yakin majoriti pengundi golongan selain Melayu akan memihak kepada parti kerajaan perpaduan.

Menurutnya berbanding PRU ke-15 menyaksikan pecahan undi, kali ini perkara itu tidak berulang.

“Dalam keadaan ini undi bukan Melayu tidak terpecah sekali gus memberi kelebihan kepada PH dan BN, khususnya di kawasan bandar-bandar utama.

“Kita boleh ambil pedoman berdasarkan PRU lalu, dengan pecahan undi memberi implikasi kekalahan tipis kepada BN. Contohnya di kawasan parlimen Gua Musang,” ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai naratif pihak lawan supaya pengundi menolak BN kerana bekerjasama dengan DAP, Azaha berkata, hanya pentaasub dan terpencil daripada arus politik semasa sahaja yang termakan dengan dakwaan itu.

Jelasnya, tidak dapat dinafikan ada kelompok pengundi Umno yang masih ‘alergik’ dengan kerjasama berkenaan namun ia boleh diatasi dengan penjelasan berstrategi.

“Sebenarnya pihak parti lawan saja yang memperbesarkan perkara ini untuk mewujudkan sentimen negatif kepada PH-BN.

“Saya berpendapat hanya mereka yang taasub dan tidak mendapat penjelasan mengenai senario politik semasa yang termakan dengan persepsi itu. Ia kita perku atasi dengan penjelasan yang berhemah,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob

Mengenai sasaran DAP untuk bertanding di PRN Kelantan, Azaha berkata, melalui proses rundingan parti itu mempunyai peluang untuk turut menampilkan calon di Kelantan.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan ia belum dimuktamadkan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan agihan kerusi antara PH dan BN Kelantan mencapai kesepakatan, namun keputusan muktamad masih ditangan pimpinan pusat.

PH diberikan bertanding di 14 DUN, manakala BN bertanding di 31 kerusi.

Bagaimana PH Kelantan dilaporkan masih memohon tambahan kerusi khususnya di parlimen yang mempunyai empat kerusi DUN.