Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suhakam hari ini kelihatan ‘lebih diam’, kata Teresa

PARLIMEN l Suhakam hari ini kelihatan “lebih diam” berbanding dengan Suhakam yang lepas, kata Teresa Kok (Pakatan Harapan-Seputeh) semasa perbahasan Laporan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut ahli parlimen DAP, suruhanjaya itu lebih proaktif pada masa lalu.

“Dulu, kami selalu lihat pesuruhjaya turun padang dan mengadakan pelbagai aktiviti, seperti menjadi pemantau dalam perhimpunan Bersih, mengadakan pendengaran terbuka terhadap mangsa yang mengadu tentang penyalahgunaan kuasa pegawai penguatkuasa dan sebagainya.

“Tetapi pada hari ini, kami jarang baca kenyataan dan aktiviti Suhakam, dan kebanyakan kita tidak mengenali pesuruhjaya Suhakam,” katanya.

Teresa Kok (PH-Seputeh)

Suhakam melantik anggota suruhanjaya baharu pada Julai tahun lalu, yang mengundang kritikan daripada beberapa kumpulan hak asasi manusia.

Pelantikan Rahmat Mohamad, sebagai pengerusinya juga mendapat bidasan kerana sebelum ini dia adalah pengarang bersama kertas kerja yang meyakinkan Majlis Raja-Raja supaya menolak Statut Rom.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bagaimanapun, Rahmat kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak menentang Statut Rom, tetapi sebaliknya menulis kertas bantahan ratifikasi Malaysia pada 2019 itu disebabkan persiapan yang diperlukan masih belum selesai ketika itu.

Rahmat Mohamad

Statut Rom yang telah diratifikasi oleh 123 negara adalah perjanjian untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memberi fokus terhadap penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Peranan ICC ini hanya menyiasat dan mendakwa jenayah sedemikian apabila terdapat negara yang tidak mampu atau mahu melakukannya.

Beberapa pelantikan lain yang mencuri perhatian kumpulan hak asasi adalah penyertaan beberapa ahli politik aktif seperti Hasnal Rezua Merican dan Nazira Abdul Rahim - menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan dan kebebasan badan hak asasi manusia itu.

Nazira adalah ketua wanita bahagian Umno Kulim-Bandar Baharu dan ahli majlis Bandar Baharu manakala Hasnal pula adalah timbalan ketua Umno Selayang.

Mengulas lanjut, Kok menggesa kerajaan supaya mengadakan libat-urus dengan kumpulan hak asasi dari segi pelantikan pesuruhjaya Suhakam.

“Ini supaya orang yang betul boleh menjadikan Suhakam lebih aktif.

“Saya berharap mereka yang ada latar-belakang perjuangan hak asasi manusia dilantik untuk menjadi pesuruhjaya Suhakam,” katanya.

[Baca berita penuh]