Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

AGC belum putuskan representasi ketiga pemilik kelab komedi Crackhouse

Jabatan Peguam Negara (AGC) belum membuat sebarang keputusan berhubung representasi ketiga dikemukakan pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Van Geyzel.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman hari ini memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih mempertimbangkan surat representasi berkaitan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi media sosial pada tahun lepas.

Dalam surat representasi, pihak yang dituduh mencadangkan cara untuk menyelesaikan perkara undang-undang, seperti melalui penarikan balik pertuduhan, atau supaya pertuduhan yang lebih rendah dikemukakan.

“Kami menerima (surat respresentasi) pada 7 Jun lalu dan ia masih dalam peringkat semakan. Tiada keputusan mengenainya (buat masa ini).

"Kami mencari tarikh lain (sebutan) pada 26 Jun untuk keputusan (AGC) mengenai representasi," kata Noor Haslinda kepada Priscilla Hemamalini Nadarajan, yang merupakan hakim perbicaraan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hakim kemudian menetapkan 26 Jun untuk sebutan bagi pihak pendakwaan mengemaskini sama ada AGC menerima atau menolak representasi berkenaan.

Terdahulu AGC membatalkan dua representasi yang dikemukakan Mohamad Rizal.

Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil Rizal van Geyzel, rizalvangeyzel (Instagram) dan rizalvangeyzel (TikTok), antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di Kuala Lumpur pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Dakwaan terhadap Mohamad Rizal susulan kontroversi persembahan acara komedi berdiri di kelab yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada pertengahan tahun lalu.

Siti Nuramira Abdullah, wanita yang dikaitkan dengan persembahan itu, dan suaminya V Alexander Navin masing-masing didenda RM8,000 dan RM16,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dikaitkan dengan kejadian itu.