Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Tiada lagi alasan untuk mencengkam media

ULASAN | Saya amat marah apabila seorang pelawak mengejek Malaysia sebagai masih negara membangun, sedangkan Singapura dikatakannya sudah mencapai tahap negara maju.

Berulang kali saya menonton klip video pelawak itu, berulang kali juga saya cuba memahami ciri-ciri negara membangun yang dimiliki oleh Malaysia dan kebanyakan negara tandus di benua Afrika.

Sejak Ronald Reagan membebaskan internet dari kawalan tentera AS pada hujung dekad 1980-an, dunia sudah terbuka dengan maklumat, sedangkan Malaysia masih mengawal media dengan alasan perpaduan nasional dan agenda keselamatan.

Nampaknya mentaliti negara sedang membangun masih menjadi hak kita.

Sejak era Dr Mahathir Mohamad mengadakan Operasi Lalang pada 1987 dan menggantung penerbitan  tiga akhbar, tidak banyak yang berubah sehingga kini.

Media masih terikat dengan pantang larang yang ketat kononnya kerana bimbang isu agama, kaum dan feudal dipersoalkan. Era kerajaan Madani   juga masih liat untuk membebaskan media sedangkan akses maklumat begitu mudah diperolehi di dunia digital.

YouTube adalah antara media baru yang mendapat sambutan sejagat sejak muncul di internet pada 14 Feb 2005. Bermacam-macam video dan khabar terkini tersebar sedangkan kita masih 'merancang' Majlis Media Malaysia ketika  undang-undang menindas masih wujud dalam sistem.

Keberadaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 akan menghalang majlis itu daripada membebaskan media. Dengannya penguasa masih bertaring untuk kawal media.

Menaik, menjatukan orang

Jeff Jarvis dalam buku What Would Google Do? menyatakan:  "Model akhbar yang lama sudah mati.  Tapi  berita tidak mati".

Ia  menjadi cabaran media massa pada waktu ini kerana berita tidak mati. Yang mati hanya hayat sesebuah media itu apabila ia tidak lagi mendapat sokongan pembaca atau penonton.

Media yang dikawal hanyalah burung kakak tua yang berlagu mengikut arahan pihak berkuasa. Ia bertentangan dengan tradisi pemikiran manusia yang mahukan maklumat, bukan propaganda.

Tamadun dunia menjadikan media sebagai aset penting dalam kehidupan. Peranan media dalam bentuk akhbar semakin dicabar oleh laman sosial dan portal berita yang dianggap lebih mesra pengguna.

Persaingan agensi penyiaran pula menjadikan pengguna lebih banyak pilihan dan menentukan sama ada menerima maklumat dari media rasmi yang propembangunan atau warta sampingan yang menyediakan laporan alternatif.

Organisasi media sering dikaitkan dengan kuasa dan bagaimana kekuasaan digunakan bagi mempengaruhi massa. Peranan itu berkekalan kerana pengaruh media dianggap boleh menjatuh atau menaikkan seseorang atau kelompok tertentu.

Gambar hiasan

Bill Kovach dan Tom Rosenstiel menerusi  The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menghujahkan perkara yang sama.  

Manusia menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu. Caranya mungkin berbeza tetapi asasnya sama: mengenai pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan,  menegakkan kebenaran.

Antara yang terpenting: kesetiaan media adalah kepada rakyat terbanyak.

Apple  memperkenalkan iPad pada April 2010 membolehkan maklumat mudah diakses di mana-mana saja. Pasaran akhbar pula mula tergugat.

Bagi sesetengah orang ketika itu, membaca berita di iPad lebih mengghairahkan berbanding menyelak satu demi satu halaman akhbar.

Kesannya, operasi syarikat akhbar terpaksa dikaji, unit baru khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dibentuk, dan kelompok baru wartawan serta pengarang diambil bekerja.

Tak semua boleh dikawal

Itulah yang berlaku di The New York Times pada 2008 apabila ia memperkenalkan Page One - sebuah media digital yang kemudian menjadi ikutan syarikat akhbar lain di seluruh dunia.

Akhbar tertua dunia, Lloyd's List, yang diterbitkan sejak 289 tahun lalu sebagai catatan pemberitahuan yang ditampal di dinding sebuah kafe di London, kini jadi tinggalan sejarah.  

“Ini hanya sebahagian daripada perkembangan dan evolusi akhbar,” kata mantan pengarang kanan Llyod’s List, Richard Meade, yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain.

Moral cerita yang boleh garapkan di sini ialah "berita tidak mati" sebaliknya yang terjejas ialah pasaran dalam bentuk konvensional.

Tiada lagi alasan untuk media dikawal kerana dunia bergerak ke depan.

Kerajaan mungkin boleh menguasai dan bertindak terhadap pengendali portal tempatan yang melaporkan isu yang tidak disenangi.

Namun bukan semua boleh dikawal kerana kepelbagaian teknologi maklumat dari luar.

Kebebasan media tidak sama dengan lawak berdiri yang mengejek Malaysia negara sedang membangun. Harus diakui minda kita masih ada di dunia ketiga.

Media masih terikat dengan pelbagai pantang larang pemberitaan. Kita masih ketawa dengan kelucuan kebebasan di bawah panji kerajaan Madani.


IMLAN ADABI adalah wartawan dan sasterawan yang tiada kasta mahupun kluster.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.