Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Majlis Media: Kementerian lain ada keutamaan berbeza - Teo

Penubuhan Majlis Media yang bebas merupakan salah satu keutamaan bagi Kementerian Komunikasi Digital, kata timbalan menterinya Teo Nie Ching.

Bagaimanapun katanya, kementerian lain mungkin tidak memberikan keutamaan yang sama terhadap langkah melakukan reformasi undang-undang.

"Tetapi ya, saya mesti akui, kementerian-kementerian yang berbeza mungkin mempunyai keutamaan yang berbeza.

"Membentuk majlis media memang menjadi keutamaan kami, kementerian saya," kata Teo dalam sesi forum yang dihoskan oleh Foreign Correspondence Club of Malaysia

Dia menjawab soalan mengenai komitmen kerajaan untuk bukan sahaja membentuk majlis media yang bebas, tetapi juga membatalkan atau meminda undang-undang yang mengekang termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), serta Akta Rahsia Rasmi 1972 - kedua-duanya di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Pembentukan majlis media adalah keutamaan kementerian saya.

"Saya perlu cuba memastikan bahawa kami dapat menyelesaikan rang undang-undang (majlis media bebas) secepat mungkin dan membawanya ke parlimen supaya kita dapat menyelesaikannya secepat mungkin.

"Tetapi anda membincangkan mengenai kementerian-kementerian lain yang melibatkan Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, jadi saya tak dapat bercakap bagi pihak mereka," katanya dalam perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tay, dan Profesor Madya Pauline Leong dari Universiti Sunway.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-15 berjanji membatalkan atau mengkaji semula PPPA, Akta Hasutan 1948, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata PPPA dan Akta Hasutan 1948 masih diperlukan bagi memelihara keamanan dan keselamatan awam.

Terdahulu, Ho menyatakan kebimbangan mengenai penubuhan majlis media dan pada masa yang sama langkah untuk mempertahankan tindakan pihak berkuasa.

"Saya agak bimbang kerana ia akan menjadi lapisan kawalan yang lain.

"Pengamal-penghamal media akan mempunyai badan lain untuk berurusan dengannya, ini merupakan satu kebimbangan" katanya.

Ho juga menyatakan konsep majlis media untuk mendorong kebebasan media mungkin sudah lapuk pada masa ini ketika media berdepan cabaran ekonomi untuk mengekalkan operasinya.