Jenaka Jocelyn: S'pura dah mohon maaf, harap kes terpencil - Saifuddin
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan dan perbuatan tidak sensitif oleh pelawak Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai biadab.
Beliau berkata tidak ada manusia yang waras dan rasional boleh menerima jenaka yang berunsur memperlekeh, menghina dan mempersenda seperti yang dilakukan wanita itu, walaupun atas nama kebebasan bersuara.
"Kita harap ia kes terpencil, kerajaan Singapura telah membuat kenyataan (maaf) secara terbuka dan beberapa pemimpin kita pun sebut secara terbuka (mengecam tindakan itu).
"Itu adalah contoh bagaimana kalau tidak ada adab, tidak ada disiplin, tak fikir perasaan orang lain, mempersenda peristiwa yang membawa kepada kehilangan nyawa dan kesedihan kepada orang tersayang yang ditinggalkan, dipersendakan begitu sahaja dan dianggap sebagai unsur jenaka," katanya ketika sesi Townhall Ikon Madani di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan seorang mahasiswa yang ingin tahu pandangannya berhubung tindakan pelawak terbabit yang mempersenda dan memperlekehkan Malaysia termasuk tragedi MH370 yang melanda negara.
Mengulas lanjut pada sidang media selepas sesi itu, Saifuddin Nasution berkata rakyat Malaysia yang waras dan rasional perlu menjarakkan diri daripada menyokong watak atau individu yang melakukan jenaka yang tidak sensitif seperti itu.
"Jadi nasihat saya tak perlu ada langsung dalam kalangan rakyat Malaysia ini walau apa pun golongannya termasuklah pempengaruh sekalipun untuk ikut terbabit, lebih baik jarakkan diri," katanya.
Beberapa hari lepas, tular menerusi media sosial satu klip video yang memaparkan seorang pelawak wanita yang berasal dari Singapura memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk “Singapore vs Malaysia” yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai program townhall itu, Saifuddin Nasution berkata ia sebagai platform untuk memberitahu dan menjawab persoalan para mahasiswa mengenai isu-isu semasa.
"Saya ambil peluang ini untuk berdepan dengan mahasiswa mahasiswi, ini kelompok yang ada kematangan berfikir, kelompok penting yang layak mengambil bahagian dalam proses menentukan kepimpinan negara melalui pilihan raya.
"Sebab itu saya tekankan dalam townhall ini supaya tidak terikut-ikut dengan bawaan arus sebaliknya dalam sesuatu isu perlu lihat kepada fakta dan baik buruknya kes, itu penting sebab kelompok ini kalau kita pandu mereka boleh buat satu keputusan yang lebih baik, cermat," katanya.
Program Townhall Ikon MADANI merupakan inisiatif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia serta Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan yang berkonsepkan bual bicara menyasarkan pelajar dan bakal graduan di institusi pengajian tinggi.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain dan Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai