Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAC lawat projek LCS sekali lagi

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melawat tapak projek kapal tempur pantai (LCS) yang telah lama terhenti hari ini untuk menilai kemajuan pembinaannya.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata pasukannya meluangkan masa selama dua jam melawat Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak hari ini untuk melihat sendiri status projek itu.

Berikutan itu, satu prosiding PAC telah diadakan untuk mengetahui tentang laporan kemajuan projek itu - yang perlu difailkan oleh Kementerian Pertahanan kepada PAC setiap suku tahun.

Keperluan ini telah disyorkan oleh PAC semasa sidang Parlimen ke-14.

"PAC komited untuk membentangkan Laporan Kemajuan Projek LCS, yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023 yang akan diadakan bermula 9 Oktober 2023 sehingga 30 November 2023," kata Mas Ermieyati pada satu kenyataan hari ini.

Antara saksi yang dipanggil PAC hari ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Shahrazat Ahmad, Pengerusi Boustead Naval Shipyard (BNS) Ahmad Nazim Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS Azhar Jummat.

Prosiding berlangsung selama tiga setengah jam.

Tahun lepas, PAC menyimpulkan projek LCS mengalami kelewatan, dengan lebihan kos yang besar dan dibina tidak mengikut spesifikasi tentera laut.

BNS sepatutnya mengeluarkan enam LCS untuk RM9 bilion. Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019. Pada masa ini, tiada kapal yang hampir siap.

Bulan lalu, Putrajaya memutuskan untuk menyelamatkan BNS dan meningkatkan pembiayaan kepada RM11.2 bilion. Selain itu, BNS hanya perlu menghantar lima kapal berbanding enam kapal sebelum ini.


BACA BERKAITAN:

PANDUANKINI | Menyelami skandal LCS bernilai RM9 bilion

Dari enam jadi lima kapal: Projek LCS dikecilkan, kos naik RM11.2b - BNS

Laporan LCS dipadam: Mindef, BHIC beri kenyataan bertentangan - PAC

LCS: MOF ambil alih BNS sebagai anak syarikat - Tok Mat