Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu LCS: Rafizi tak bercadang mohon maaf

Rafizi Ramli menolak kata dua diberi Zainab Mohd Salleh selepas dia membuat dakwaan wanita terbabit adalah isteri kepada bekas menteri yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS).

Peguam Rafizi, Razlan Hadri, memberitahu Malaysiakini kenyataan dibuat menteri ekonomi itu tidak menyasarkan Zainab sebaliknya yang menjadi isu utama ialah mengenai cara kontrak LCS yang dikatakan tidak wajar diberikan oleh kerajaan terdahulu.

Razlan berkata walaupun diakui bahawa Zainab bukan isteri Abdul Latiff Ahmad - yang sebelum ini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri - Rafizi tidak akan meminta maaf kepada wanita terbabit.

Katanya penegasan itu dibuat kerana kenyataan Rafzi adalah berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu LCS.

"Kenyataan Rafizi bukan fitnah (terhadap Zainab) kerana ia tertumpu kepada prosedur kerajaan dan perolehan yang dikaitkan dengan projek (LCS)..

"Jika dia masih mahu menyaman, saya ada arahan (daripada Rafizi) untuk menerima penyerahan kertas kausa (dokumen mahkamah untuk sebarang tuntutan mahkamah yang mungkin difailkan)," kata Razlan baru-baru ini.

Sementara itu, ketika dihubungi baru-baru ini, peguam Zainab, Yusfarizal Yussoff, berkata dia "serius mempertimbangkan" untuk membawa Rafizi ke mahkamah sivil atas dakwaan memfitnah.

Peguam itu berkata pendirian semasa mereka adalah berikutan maklum balas ahli parlimen Pandan terbabit terhadap surat tuntutannya yang dikeluarkan pada 23 Mac.

Dalam surat tersebut Rafizi yang juga timbalan presiden PKR diberi tempoh 14 hari untuk meminta maaf kepada Zainab.

Melalui surat tuntutan itu Zainab menafikan dia adalah isteri Latiff, justeru mengeluarkan kata dua kepada Rafizi.

Dia juga mendakwa Rafizi menerbitkan enam kenyataan berunsur fitnah antara 22 Ogos dan 1 Nov tahun lepas di blognya, serta akaun TikTok miliknya.

[Baca berita penuh]