Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sanusi mohon perintah mahkamah tentukan skop pengampunan Anwar

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah memfailkan permohonan kepada mahkamah sivil untuk menentukan jika pengampunan diraja yang diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meliputi kedua-dua hukuman dan sabitan jenayah.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu memfailkan permohonan itu - di bawah Aturan 33 Kaedah 2, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 - di Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) di Alor Setar pada 31 Mac lalu.

Menurut salinan afidavit sokongan yang dilihat oleh Malaysiakini, Sanusi memohon perintah mahkamah bagi isu itu untuk menguatkan pembelaannya terhadap saman fitnah Anwar.

Isu fakta yang dipohon oleh defendan adalah untuk memutuskan jika  pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 kepada Anwar pada 16 Mei 2018, adalah pengampunan penuh yang bukan sahaja mengenepikan hukuman penjara plaintif tetapi juga mengetepikan sabitannya (Anwar) di mahkamah jenayah.

Antara persoalan undang-undang yang diminta Sanusi adalah sama ada pengampunan yang diberikan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berupaya mengakas atau mengenepikan sabitan jenayah.

Menerusi pemfailan itu, Sanusi berkata pernyataan pembelaannya terhadap tindakan fitnah cuba bergantung kepada rekod kes jenayah Anwar sebelum ini yang melibatkan sabitan dan hukuman penjara.

Defendan menegaskan bahawa plaintif - dalam jawapan kepada pembelaan - berpendapat bahawa Sanusi tidak boleh bergantung kepada rekod sedemikian kerana pengampunan telah mengenepikan bukan sahaja hukuman penjara ke atas Anwar tetapi juga sabitan jenayahnya.

Sanusi berkata bahawa mahkamah perlu menentukan sejauh mana pengampunan itu kerana pembelaannya bergantung kepada hujah bahawa kenyataannya - yang didakwa Anwar sebagai fitnah - sebenarnya adalah berdasarkan fakta yang didakwa.

Defendan berkata hujah pembelaannya, antara lain, juga bergantung kepada dakwaannya bahawa dokumen pengampunan berkenaan tidak menyatakan sebab pengampunan diraja kepada Anwar.

“Plaintif mendakwa bahawa pengampunan tersebut adalah satu pengampunan penuh yang bersifat mengakas/mengenepikan keseluruhan hukuman dan sabitan jenayah yang sedang dan/atau telah dihadapi oleh plaintif.

“Atas sebab itu, plaintif mengatakan bahawa defendan telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap plaintif apabila menyebut kembali beberapa sabitan jenayah yang telah dihadapi oleh plaintif.

“Walaubagaimanapun, tidak ada kenyataan yang jelas di dalam pengampunan tersebut dan juga undang-undang yang menyatakan bahawa pengampunan yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan boleh mengakas/ mengenepikan kesemua sabitan jenayah ke atas plaintif,” kata Sanusi.

Bagaimanapun, dalam afidavit balasnya yang difailkan pada 25 April, Anwar membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan Sanusi, dengan menyatakan bahawa badan kehakiman tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneliti isu pengampunan, yang merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong bawah Perkara 42 Akta Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah perundangan mantap dan tidak boleh disahkan atau divariasikan oleh mahkamah.

Justeru, Anwar berhujah bahawa permohonan Sanusi sepatutnya ditolak kerana perkara pengampunan diraja tidak boleh diputuskan oleh undang-undang atau mahkamah.

Katanya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181 berhubung kuasa Seri Paduka memberikan pengampunan, adalah kuasa tetap dan tidak terjejas.

Ketika dihubungi, peguam defendan Yusfarizal Yusoff memberitahu Malaysiakini bahawa pengurusan kes selanjutnya perkara itu telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi di Alor Setar pada 28 Jun.

Pada 13 Disember, tahun lalu, Anwar memfailkan tindakan sivil terhadap  Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral semasa berkempen di Tambun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif, kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH..

Anwar diwakili peguam Sankara Nair.

[Baca berita penuh]