Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Wan Rosdy cuba raih populariti lepas imej tercalar teruk pada PRU15'

PAS Pahang menyelar tindakan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang menuduh parti itu tikam belakang hingga menyaksikan Muafakat Nasional (MN) berkubur di negeri berkenaan.

Selain itu, Wan Rosdy juga mendakwa Adun PAS menyalahgunakan peruntukan disalurkan ketika MN masih wujud di Pahang dengan membelanjakan peruntukan itu untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Tuduhan itu dipercayai dirakam ketika Wan Rosdy yang juga naib presiden Umno berucap pada sesi townhall bersempena Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung ketika ini di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan PAS Pahang Tarmizi Yahaya berkata semua tuduhan Wan Rosdy itu berniat jahat dan sangat kurang tepat.

Katanya, dakwaan dibuat menteri besar Pahang itu tidak lebih daripada untuk mencari populariti selepas imejnya sebagai pengerusi Umno Pahang tercalar teruk susulan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

"Bagi saya, Wan Rosdy sedang berusaha untuk menunjukkan seolah-olah dia masih relevan sedangkan prestasi Umno Pahang diketuainya sangat teruk hingga kehilangan 17 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU15).

"Tidak pernah dalam sejarah pengerusi Umno Pahang sebelum ini yang mengalami kekalahan seperti dialami Wan Rosdy.

"Memanglah dia dah jadi MB (menteri besar), dah jadi naib presiden Umno, tapi dia perlu lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan dan berpolitik dengan sihat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, Pahang hari ini.

Video berkaitan tuduhan Wan Rosdy itu dikongsi Adun PAS Jengka, Sharil Azman Abd Halim melalui akaun TikTok miliknya pagi tadi.

Shahril Azman turut menyelitkan rakaman ucapan Wan Rosdy sambil memberikan ulasan berkaitan dakwaan dibuat menteri besar Pahang itu.

Dia bagaimanapun turut memaklumkan klip video sesi townhall itu sudah dipadamkan dari akaun media sosial yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Selain mendakwa PAS Pahang menikam belakang dan Adun PAS menyalahgunakan peruntukan untuk PRN Johor dan Melaka, Wan Rosdy turut mendakwa ada Adun PAS di Pahang menyalahgunakan pengagihan bakul makanan ketika pandemik Covid-19 dan program bantuan di Pahang.

Dakwanya, ada Adun PAS yang menukar pelekat pada kotak bakul makanan yang memaparkan gambar menteri besar dengan gambar Adun PAS kawasan.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Tarmizi yang Adun Panching memberitahu, tidak ada Adun PAS yang melakukan tindakan seperti dikatakan oleh Wan Rosdy.

"Ketika itu kita masih MN, jadi ada Adun kita (PAS) yang tampal pelekat bersebelahan gambar MB, bukan kita tampal (pelekat) atas muka MB.

"Tujuannya untuk penerima tahu sumbangan itu daripada kerajaan Pahang melalui pejabat Adun, untuk menunjukkan kebersamaan kita sebagai MN," katanya lagi.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Adun PAS menggunakan peruntukan diterima ketika MN masih wujud di Pahang untuk PRN Johor dan Melaka, Tarmizi menjelaskan peruntukan diberikan kepada Adun PAS ketika itu bukanlah dalam bentuk wang tunai tetapi melalui tuntutan semula yang perlu dikemukakan kepada pejabat kewangan negeri.

"Dia cakap kita terima RM20,000 sebulan, tapi sebenarnya ia bukan dalam bentuk wang tunai.

"Kami kena guna duit sendiri terlebih dahulu dan kemudiannya perlu mengemukakan tuntutan kepada pejabat kewangan negeri Pahang.

"Ada tuntutan diluluskan dan ada yang tidak, semua (tuntutan) kena sertakan resit, jadi bagaimana dia boleh kata kami guna untuk Johor dan Melaka kerana kalau tuntutan (berkaitan PRN Johor atau Melaka), sudah tentu ia tidak akan diluluskan pejabat kewangan negeri," katanya.