Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Keputusan mahkamah Paris halang penuntut Sulu rampas aset M'sia - Peguam

Semua dapatan dan award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa adalah terbatal dan tidak sah berikutan Mahkamah Rayuan Paris semalam memutuskan beliau tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dalam kes penuntut Sulu.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata keputusan semalam juga menghalang usaha lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu (penuntut Sulu) dalam usaha menuntut pampasan daripada Kerajaan Malaysia.

“Kesan dapatan Mahkamah Rayuan Paris ialah semua perintah pelaksanaan yang dibuat oleh penuntut berkaitan pemberian award awal boleh dicabar,” katanya dalam program BernamaTV: The Brief, hari ini.

Ahmad Shamil Azad berkata Mahkamah Tinggi Madrid telah membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan mengarahkan beliau menghentikan proses itu.

“Bagaimanapun, Stampa memilih untuk mengabaikan perintah itu dan memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Perancis selepas memperoleh perintah exequatur,” katanya.

Peguam itu berkata memandangkan Mahkamah Tinggi Madrid bersetuju untuk membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan Mahkamah Rayuan di Perancis juga bersetuju Stampa tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk mendengar tuntutan oleh pihak yang menuntut, sebarang keputusan yang dibuat olehnya tidak lagi mengikat dan boleh dianggap batal dan tidak sah.

Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes penuntut Sulu.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Stampa telah mengeluarkan award akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia telah menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.

Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award itu adalah kekal.

- Bernama