Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saksi 'tak tahu' jika penculik Pastor Koh adalah agen polis

Seorang saksi dalam kes kehilangan secara paksa membabitkan Pastor Raymond Koh pada 2017 berkata dia tidak sahu sama ada penculik Koh merupakan agen polis atau tidak.

Roeshan Celestine Gomez berkata tidak kelihatan logo polis pada kenderaan SUV hitam serta lima lelaki bertopeng dan berpakaian hitam tentera, dalam kejadian yang hanya berlaku selama seminit di Petaling Jaya, Selangor.

Roeshan yang merupakan seorang peguam dan saksi kepada keluarga Koh berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dalam perbicaraan saman sivil keluarga itu terhadap kerajaan dan polis.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam kanan persekutuan Nurul Farhana Khalid yang mewakili kerajaan dan polis.

Nurul Farhana: SUV ada logo polis?

Roeshan: Saya tak ingat.

Nurul Farhana: Adakah mereka agen polis?

Roeshan: Tak mungkin saya tahu tentang perkara itu (I have no way of knowing).

Saksi juga berkata dia tidak ingat jika ada sebarang logo pada uniform lima lelaki bertopeng itu.

Ketika hari pertama perbicaraan penuh di depan Su Tiang Joo semalam, Roeshan berkata ada empat kenderaan SUV hitam dan beberapa kenderaan lain mengelilingi kereta Koh dan ia "dilakukan secara profesional".

Keluarga Koh memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis bagi menuntut mereka mendedahkan keberadaannya sejak diculik dari keretanya, kira-kira jam 10.54 pagi pada 13 Februari 2017.

Hari ini, ketika menjawab soalan Nurul Farhana, Roeshan berkata dia tidak dapat mengesahkan lima lelaki itu - yang keluar dari SUV - memang mengenakan pakaian tentera yang sebenar, dan berkata dia mengandaikan sedemikian kerana mereka tidak mengenakan pakaian yang biasa.

Nurul Farhana juga berkata laporan polis awal Roeshan yang dibuat di balai polis Kelana Jaya kira-kira sejam selepas insiden tidak mengandungi perincian seperti yang disebut dalam keterangannya di mahkamah serta kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Roeshan setuju dengan kenyataan tersebut.

Nurul Farhana kemudian menyatakan bahawa Roeshan sebenarnya tidak melihat insiden yang didakwa sebagai penculikan itu dan seluruh keterangannya dipengaruhi satu video berkenaan insiden yang tular. Roeshan membantah kenyataan tersebut.

Isteri Koh, Susanna Liew

Nurul Farhana membangkitkan yang laporan polis itu tiada maklumat seperti nama kawan Roeshan yang didakwa ada bersama ketika insiden berlaku, serta berkenaan lima lelaki bertopeng yang berpakaian gaya tentera.

Roeshan membantah hujah Farhana yang dia tidak dapat melihat apa yang sebenarnya berlaku, memandangkan keterangannya semalam menyatakan dia berada kira-kira 30 hingga 40 meter daripada tempat kejadian.

Dia juga membantah hujah Farhana yang dia hanya tiba di tempat kejadian selepas insiden didakwa berlaku dan tidak melihat kejadian sebenar, ekoran keretanya tidak dilihat dalam satu video tular pada 2017.

Selepas kira-kira dua jam pemeriksaan balas, peguam Jerald Gomez mewakili plaintif yang juga isteri Koh, Susanna Liew, membantah bentuk soalan Nurul Farhana dan menyatakan ia hanya kelihatan untuk menguji ingatan Roeshan dan agak meleret.

Nurul Farhana kemudian menjelaskan dia perlu mengekalkan soalannya dalam pemeriksaan balas memandangkan Roeshan adalah saksi utama dan kewibawaannya perlu diuji.

Perbicaraan bersambung 20 Jun ini.

[Baca berita asal]