Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Orang muda Cina, India tak sedar 'langkah sumbang' DAP, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang terus membuat serangan terhadap DAP, kali ini dengan mengimbas kembali apa yang didakwanya sebagai "langkah sumbang" parti itu yang tidak disedari oleh generasi muda kaum Cina dan India di Malaysia.

Abdul Hadi mendakwa DAP - yang ditubuhkan selepas merdeka - cuba menggantikan dua parti yang ditubuhkan sebelum merdeka, iaitu MCA dan MIC, dan ingin merungkai hubungan masyarakat majmuk yang telah wujud di Malaysia sejak sebelum kemerdekaan.

"...Masyarakat majmuk yang telah bertapak dengan harmoni tanpa paksaan beragama Islam, walaupun disebutkan Islam itu agama bagi persekutuan. Namun, juga diberikan hak kebebasan beragama dan tanpa merubah rupa bangsa, bahasa dan budayanya," katanya dalam tulisan Minda Presiden, hari ini.

Abdul Hadi berkata usaha DAP untuk "merungkai" hubungan masyarakat majmuk adalah dengan membawa agenda Malaysian Malaysia dan sekularisme.

"Mungkin generasi muda daripada kalangan kaum Cina dan India tidak perasan dengan langkah yang sumbang ini kerana kebanyakan mereka lahir selepas kemerdekaan.

"Alasannya cuba menggambarkan kalangan bangsa Melayu itu rasis, tanpa melihat wajah yang sebenar di lapangan. Padahal kaum Melayu ialah kaum yang paling tidak rasis, walaupun dipaksa oleh penjajah menerima jus soli menjadi syarat kemerdekaan dengan menerima pendatang daripada kalangan kaum Cina dan India menjadi warganegara," katanya.

Katanya lagi, orang Cina dan India bebas untuk mengamalkan agama mereka dan menjalankan kegiatan seperti berniaga dan bertani, serta boleh menggunakan bahaasa ibunda masing-masing.

"Hanya mereka yang buta akal sahaja menuduh Melayu ini bersikap rasis," katanya lagi.

Hadi sekali lagi membangkitkan perkaitan antara DAP dengan parti pemerintah Singapura, PAP.

Dia mendakwa idea Malaysian Malaysia yang dibawa mendiang Lee Kuan Yew dan tokoh-tokoh lain dalam Konvesyen Solidariti Malaysia pada 1965 untuk menentang kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan terus diperjuangkan menerusi DAP yang ditubuhkan sebagai parti serpihan PAP selepas Singapura keluar dari Malaysia.

"Itulah sebabnya orang Melayu dan bumiputera sekarang terus-menerus menolak konsep ini yang bakal melenyapkan ketinggian Islam, ketuanan Melayu, hak keistimewaan dan kelebihan mereka di bumi asal mereka.

"Orang Melayu dan bumiputera ialah keturunan Nusantara (The Malay Archipelago), bangsa asal Gugusan Kepulauan Melayu. Orang Melayu dan bumiputera tidak akan sekali-kali menerima pakai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.

"Bangsa Melayu yang menganut Islam dan melaksanakan Islam yang sempurna sebelum kedatangan penjajah, telah menentang penjajah sejak awal kedatangannya bermula tahun 1511 sehingga beberapa abad lamanya dengan mengorbankan ramai para syuhadah daripada kalangan rakyat sehinggalah para ulama dan raja-raja," katanya lagi.

Konsep Malaysian Malaysia sememangnya menjadi "beban" kepada DAP dan antara senjata utama yang digunakan dalam kritikan terhadap parti itu.

Para pemimpinnya terpaksa berulang kali menegaskan parti itu menghormati Perlembagaan Persekutuan, antaranya oleh setiausaha agungnya Anthony Loke pada Oktober 2020.

Anthony Loke

Ketika itu sebagai setiausaha organisasi, Loke berkata parti itu mempertahankan institusi diraja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.

Katanya, DAP sentiasa diserang menentang sistem Raja Berperlembagaan dan ingin menghapuskan institusi diraja.

"Ini adalah tohmahan yang langsung tidak berasas. Dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

"Dasar ini telah pun termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012," katanya ketika itu.

Hari ini, Abdul Hadi yang juga bekas duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu mengingatkan orang bukan Islam sepatutnya menghargai sumbangan negara ini yang memberikan tempat kepada mereka.

"...Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara. Kedudukan Islam yang dianut oleh rumpun Melayu dengan akrab tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya.

"Malah, sepatutnya sikap toleransi yang diberikan kepada mereka itu hendaklah dihormati. Konsep sekularisme dan Malaysian Malaysia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Pernah berlaku ketegangan di Singapura, ketika konsep tersebut mula diperkenalkan.

"Malaysia pernah mengalami peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam dalam hubungan masyarakat majmuk. Maka, peristiwa hitam itu jangan diulang sekali lagi dengan membawa agenda yang salah," katanya.